Operasi cari dua lagi mangsa berdepan kesukaran - Utusan Malaysia

Operasi cari dua lagi mangsa berdepan kesukaran

ANGGOTA bomba melakukan rondaan di Sungai Kemaman dalam operasi SAR mangsa kepala air Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Dua lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, masih belum ditemukan walaupun pelbagai usaha dan cara dilakukan selepas 96 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilaksanakan sejak Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Khariri Mat Resad@ Arshad berkata, setakat pukul 4 petang semalam, usaha mencari dua mangsa iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu.

“Bagaimanapun kita percaya kedua-kedua mangsa masih berada di sekitar sektor penca­rian sepanjang 35 kilometer iaitu dari lokasi kejadian sehingga ke muara Sungai Kemaman.

“Kita optimis kedua-kedua mangsa masih berada di kawasan sekitar ini berikutan ba­nyak halangan seperti perangkap sampah, timbunan kayu dan beting pasir yang menjadi elemen penghalang untuk mang­sa keluar ke laut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Khariri berkata, operasi yang memasuki hari keempat semalam berdepan sedikit kesukaran apabila hujan lebat lebih tiga jam sekitar pukul 12.30 te­ngah hari.

“Kita terpaksa menangguhkan sementara operasi di kawasan sektor A berikutan kawasan itu berisiko terjadi kepala air dan kita tidak mahu kejadian sama berulang.

“Operasi di sektor B dan C iaitu di sekitar Sungai Teladas hingga ke muara Sungai Kemaman masih lagi diteruskan sehingga lewat petang ini,” katanya.

Menurutnya, SAR akan terus dilakukan sehingga pasukan penyelamat berpuas hati dengan keseluruhan kawasan pencarian.

Mohd. Khariri berkata, pihaknya turut meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk komuniti nelayan dan laut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ternampak sebarang objek yang dipercayai mangsa.

Operasi yang disertai 174 anggota pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut dibantu sukarelawan dan orang awam.

Selain satu unit dron, enam ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba dan polis turut membantu operasi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang termasuk Muhammad Fikri yang merupakan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat pukul 4 petang semalam, lapan mangsa telah ditemukan sejak Ahad lalu.

Lapan mangsa yang ditemukan ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Arya­na Umaira Karim, 4.

Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, berjaya ditemukan semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya