Op Manis 2.0 dilanjut hingga 31 Julai

Op Manis 2.0 dilanjut hingga 31 Julai

AZMAN Adam pada sidang akhbar berhubung pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melanjutkan Op Manis 2.0 sehingga 31 Julai ini bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula di seluruh negara stabil untuk kegunaan rakyat.

Ketua Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Azman Adam berkata, pelanjutan operasi itu juga bertujuan memastikan tidak berlaku aktiviti menyorok gula oleh pihak tidak bertanggungjawab dan mengelak pembelian panik pengguna sehingga menyebabkan gangguan bekalan bahan itu di pasaran.

“Ini merupakan langkah proaktif kerajaan melalui kementerian supaya rakyat tidak perlu gusar dengan insiden pembelian panik dan sebagainya.

“Kerajaan berusaha keras memastikan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat ini dapat diatasi dengan berkesan dan saksama,” katanya menerusi sidang akhbar pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris, di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Manis dan Op Manis 2.0 bermula 3 Mei hingga 30 Jun lalu, sebanyak 6,276 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara dengan 109 aduan diterima dalam tempoh sama.

Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak 20 kes dikesan melibatkan kesalahan mengenakan syarat penjualan tidak sah, menjual melebihi harga kawalan, membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga jualan.

“Walaupun ia tidak melibatkan nilai subsidi atau kerugian kepada kerajaan, tindakan mereka ini mengakibatkan peniaga, pengusaha kantin, industri kecil dan sederhana dan peniaga pasar malam sukar untuk mendapatkan bekalan gula,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Azman berkata, sebanyak 7,625 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara menerusi Op Tiris bermula 1 Mac sehingga kelmarin dengan 309 kes dikesan melibatkan rampasan minyak diesel sebanyak 3.36 juta liter bernilai RM27.03 juta.

Katanya, Op Tiris yang dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 Mac sehingga 31 Ogos ini bertujuan memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerima bekalan itu.

“Dalam tempoh tersebut, sebanyak 282 tangkapan dibuat melibatkan 62 warga asing dan 220 warga tempatan serta pemastautin tetap.

“Selain itu, kita turut memberikan tumpuan kepada stesen-stesen minyak dan pergerakan kenderaan asing atau tempatan yang mungkin terlibat dalam membeli dan menyeleweng bekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya