Nyaris hilang peluang membintangi The Childe - Utusan Malaysia

Nyaris hilang peluang membintangi The Childe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBERKESANAN Kim Seon Ho, 37, melakonkan watak pembunuh upahan bernama Gwigongja menerusi filem pecah panggung, The Childe menerima pujian ramai.

Keputusannya memilih naskhah arahan Park Hoon Jung itu sebagai filem pertamanya adalah tepat kerana buat kali pertama, peminat melihat kredibiliti lakonannya di layar perak.

Cadangan untuk menyenaraikan Seon Ho sebagai salah seorang pemain utama filem berkenaan sebenarnya hampir ditolak Hoon Jung berikutan gambar profil aktor itu yang gagal meyakinkan pengarah tersebut.

“Katanya, sebelum ini lagi, pernah ada pihak mencadangkan beliau mengambil saya berlakon. Tetapi beliau kurang yakin setelah melihat gambar saya.

“Namun selepas dicadangkan buat kali kedua, beliau bersetuju untuk bertemu saya secara berdepan,” katanya kepada sebuah portal hiburan Korea Selatan.

Seon Ho dilanda kontroversi paling hebat sepanjang kerjaya seninya tidak lama selepas sesi pilih watak untuk filem The Childe dilakukan.

Pada 17 Oktober 2021, seorang wanita tampil mengaku dirinya bekas teman wanita seorang pelakon bernama K (kemudian didedahkan sebagai Seon Ho).

Wanita tersebut mendakwa pernah terlanjur dengan Seon Ho dan dipaksa menggugurkan anak yang dikatakan milik pelakon berkenaan.

Seon Ho tidak lama selepas itu membuat permohonan maaf secara terbuka bagi membersihkan namanya.

Kontroversi tersebut memaksa beberapa jenama terkenal, termasuk produk makanan dari Amerika Syarikat dan kamera keluaran Jepun menurunkan semua iklan yang memaparkan wajah Seon Ho.

Dalam masa sama, aktor kelahiran Seoul, Korea Selatan itu juga digugurkan daripada menyertai rancangan terbitan stesen televisyen KBS, 2 Days & 1 Night serta dua projek filem, Dog Days dan 2 O’Clock Date.

Dalam pada itu, wanita berkenaan, menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Oktober 2021, mendakwa berlaku salah faham antara dia dan Seon Ho.

Menerusi kenyataan yang sama, dia turut memohon maaf atas kekecohan yang berlaku gara-gara pendedahannya itu.

Bagaimanapun, sebuah portal hiburan yang memetik sumber rapat kedua pihak mendakwa wanita berkenaan berbohong dan menyembunyikan hakikat bahawa keputusan menggugurkan kandungan tersebut adalah atas persetujuan bersama.

Laporan tersebut sedikit sebanyak membersihkan nama pelakon berkenaan dan melepaskannya daripada terus dibelenggu dengan kontroversi terbabit.

Susulan itu juga, tujuh jenama terkenal memutuskan untuk kembali menaikkan iklan yang mengandungi wajah Seon Ho.

Pada masa sama, produksi The Childe mempertahankan keputusan mereka untuk terus menyenaraikan aktor tersebut sebagai bintang filem terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya