CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) mempertikaikan kelulusan yang diberikan bagi projek pelancongan eko di satu kawasan bukit di pekan Tringkap di sini.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, kawasan itu bukan sahaja terlalu hampir dengan rumah penduduk tetapi juga kawasan sensitif alam sekitar tahap 1, yang tidak boleh dilaksanakan pembangunan.
Kata beliau, pihaknya bimbang jika projek tersebut dilaksanakan, kemungkinan besar ia boleh menyebabkan bencana tanah runtuh dan banjir.
“Dalam Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH), kawasan itu adalah kawasan hutan dan Kelas 1. Sepatutnya pihak yang berkenaan harus meneliti tanah yang terletak dalam kawasan hutan dan tahap ketingging Kelas 1 mengikut RTDCH, tetapi mengapa mereka tidak peduli.
“Persoalannya, bagaimana laporan EAI (penilaian impak alam sekitar) diluluskan tanpa mengambil pendapat dan ulasan penduduk pekan Tringkap. Adakah kajian terperinci dijalankan dan telah mendapat kelulusan semua jabatan teknikal?,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dilip Martin berkata, setakat ini, kawasan berkenaan sudah dibersihkan dan jika kerja-kerja menolak tanah dilakukan, kemungkinan berlakunya tanah runtuh dan banjir di pekan Tringkap.
Sebab itu, katanya, Reach amat bimbang dengan projek ekopelancongan itu yang dilaksanakan secara usahasama, besar kemungkinan akan menyebabkan berlakunya bencana alam.
“Kami mahu Kerajaan Negeri Pahang mengambil serius tentang perkara itu. Reach juga memohon Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengkaji semula EIA yang telah diluluskan di kawasan hutan ketinggian kelas 1 itu,” katanya. Dilip
Martin menegaskan, Kerajaan Negeri Pahang dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands juga perlu memberhentikan kelulusan tanah-tanah baharu untuk pertanian atau untuk pembangunan serta merta.
“Reach juga memohon supaya kerajaan negeri memperhalusi dan menggunakan Akta Kanun Tanah Negara 1960 di Cameron Highlands untuk pembangunan pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN