Negara ada adab nyatakan perbezaan kepada raja - PM - Utusan Malaysia

Negara ada adab nyatakan perbezaan kepada raja – PM

Diraja
ANWAR Ibrahim berucap pada Program Sentuhan Kasih Desan, Mini Karnival Usahawan Desa dan Usahawan Orang Asli di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat perlu menjaga taraf dan kehormatan institusi diraja dan tidak mengheretnya ke dalam ke dalam perbincangan dan perbahasan politik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, negara ini mempunyai adab dan tatacara untuk menyatakan perbezaan pandangan seperti dilakukan beliau dengan menghadap Raja-Raja Melayu bagi menyatakan perkara sedemikian.

“Bukan kata orang Selangor, orang Pahang pun ada raja, Kedah dan Kelantan pun ada Raja. Kita semua ada Agong, jangan samakan raja-raja dengan kita, raja tak boleh bercakap kempen macam ini.

“Dia (institusi raja) jaga tarafnya, sebab itu dikata ke bawah duli yang maha mulia. Jadi jangan heret dia (raja-raja Melayu) dalam perbincangan kita. Inilah padahnya.

“Kena faham kalau sistem raja hendak dipertahan, inilah caranya, saya kalau ada perbezaan pandangan saya pergi mengadap, ampun tuanku patik rasa begini, begini, begini. Begitu caranya,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desan, Mini Karnival Usahawan Desa dan Usahawan Orang Asli, hari ini.

Malah, Menteri Kewangan itu sekali lagi menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Sanusi adalah disebabkan oleh laporan polis yang dibuat oleh Dewan Diraja Selangor berhubung kenyataan dibuat oleh beliau dalam kempen politiknya di Selayang, dua minggu lalu.

“Tetapi kalau cerca dan singgung raja, nasib kamulah. Jadi, siapa yang buat laporan, Dewan Diraja Selangor. Apa boleh ke Dewan Diraja Selangor tanpa perkenan Sultan Selangor, tidak. Dewan Diraja Selangor buat laporan polis kemudian Ketua Pas Selangor (Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi) pergi mengadap baginda minta ampun. Apa jawab tuanku? Tuanku titah belum selesai.

“Esok, Ketua Polis Negara buat kenyataan, ditangkap dan didakwa, mana salah Perdana Menteri pula ini? Tak ada modal ke? Kamu pandai cakap, tanggunglah, hebat sangat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan pembentukan Kerajaan Perpaduan pada hari ini adalah berdasarkan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Mustafa Billah Shah yang memanggil menghadap ketua-ketua parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pimpinan pembangkang perlu mengambil contoh situasi yang berlaku di Thailand ketika ini apabila kerajaan baharu masih belum dibentuk walaupun selepas dua bulan pilihan raya.

“Yang di-Pertuan Agong kata sokong Kerajaan Perpaduan, bersama bentuk perpaduan, saya tak tahulah macam mana orang itu (pembangkang) dalam politik, perpaduan itu titah Agong.

“Saya dipanggil, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipanggil dan dalam masa sama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kenapa dipanggil masa itu tidak ada majoriti tubuh kerajaan.

“Tengok Pita (Limjaroenrat), menang kerusi terbesar di Thailand dua bulan tak boleh tubuh kerajaan, terhoyong-hayang, terumbang-ambing kerana raja tak berkenan, sebab apa pernah dia serang sistem beraja. Jadi akhirnya 29 Julai ini baru hendak putuskan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya