IPOH: Nasib ternyata tidak menyebelahi Perak FC apabila dinafikan kemenangan oleh Kelantan United FC melalui sepakan penalti enam minit sebelum tamat permainan dalam perlawanan Liga Super di sini hari ini.
Jaringan penalti oleh Indra Putra Mahayuddin itu menyelamatkan Kelantan untuk keputusan 1-1 dalam perlawanan di Stadium Perak.
Pengadil, Jeevanathan M. Ponnamoorthy memberikan penalti kepada pasukan pelawat selepas berlaku kekasaran dalam kotak penalti walaupun para pegawai Perak membantah keras keputusan tersebut.
Apapun, keputusan itu adil buat kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang berlangsung seimbang.
Terdahulu, Perak membuka jaringan melalui Sunday Afolabi yang menanduk masuk bola sepakan sudut Luciano Goaycochea pada minit kesembilan.
Gol itu membakar semangat pemain pasukan tuan rumah yang melancar serangan bertubi-tubi ke kubu Kelantan United tetapi gagal menambah jaringan.
Pasukan pelawat juga tidak berdiam diri apabila melancar serangan balas melalui Ismaheel Akinade Jose Elmer Porteria.
Bagaimanapun, mereka mendapati gawang tuan rumah yang dikawal T. Shaheeswaran ternyata kebal.
Begitupun, Shaheeswaran tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang jaringan penalti Indera Putra untuk keputusan berakhir 1-1. – UTUSAN