Nama calon BN enam negeri sudah diserah

Nama calon BN enam negeri sudah diserah

AHMAD Zahid Hamidi bertemu ahli UMNO yang hadir pada perjumpaan jentera dan ramah mesra bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Seluruh Negeri Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya sudah menerima semua senarai calon daripada pengerusi badan perhubungan enam negeri yang bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, senarai tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum diumum pada 21 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Ia (senarai calon) dikemukakan oleh pengerusi perhubungan negeri enam negeri. Mereka mengemukakan tiga nama bagi tiap-tiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tandingi.

“Kita akan muktamadkan, hari pengumuman (calon) dan watikah kepada calon itu akan kita adakan pada malam 21 Julai di PWTC,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Jentera UMNO/BN, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar bahawa gabungan itu mampu meraih 16 kerusi pada PRN di negeri itu,  Ahmad Zahid sebaliknya mengingatkan agar seluruh jenteranya supaya tidak leka dan bekerja keras menawan hati pengundi sehingga saat akhir sebelum hari pengundian.

“Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi kita jangan bersifat mendahului hukum Allah. Walaupun saya tidak ada perbezaan pendapat dengan beliau (Mahfuz) atau mana-mana pemimpin tetapi eloklah, yang penting kita bekerja keras dahulu.

“Baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri ini terutamanya di Kedah,” katanya.

Menyentuh tentang perjumpaan itu, katanya, gerak kerja jentera UMNO untuk pilihan raya itu akan dimulakan di semua peringkat sehingga ke peringkat DUN.

“Saya memberi pengarahan untuk kita bergerak bagi semua peringkat. Kita membuat keputusan mulai di peringkat lokaliti (cawangan), terus di DUN dan peringkat bahagian. Ini adalah satu pengarahan baharu yang saya turunkan ke bawah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya