Muzik di negara kita tidak bertakung tetapi tidak juga mengalir

Muzik di negara kita tidak bertakung tetapi tidak juga mengalir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA periksa arkib Instagram tempoh hari, terjumpa story yang saya hanya kongsi pada close friends. Saya menulis tentang lagu-lagu yang biasa dan yang bermakna.

Ini dah berlaku lama, lebih setahun. Waktu itu saya mula ada rasa lelah menulis Rondivu. Ada hal dalam lapangan muzik independen yang tidak menyenangkan. Tapi saya luah pada kawan-kawan rapat saja.

Ideanya datang dari buku Hassan Muthalib yang mengulas karya-karya arwah Mamat Khalid. Pak Hassan kata, ada filem seram yang over, ada filem seram yang bermakna. Saya gubah sedikit: ada lagu yang biasa, ada lagu yang bermakna.

Banal tak fatal

Mungkin ada cebis-cebis idea dari story itu yang terpendam lama dalam kepala. Terperam, terperangkap dan terperosok.

Ada masa, apabila disua pasangan idea yang serasi, cebis-cebis itu keluar. Saya lihat ada semangatnya dalam artikel yang saya tulis tentang pertembungan seni dengan niaga tak lama dulu.

Tapi idea itu secara pejal – tentang biasa dan bermakna – dah dilupakan terus. Baru tempoh hari ia muncul semula.

Asasnya, apa yang saya cakap waktu itu, ada lagu yang dicipta di negara ini tujuannya hanya untuk menghibur. Ini lagu-lagu biasa.

Lagu-lagu banal dengan pencontoh lazim, dengan formula yang diulang-ulang. Tujuannya hanya untuk menghibur sebab seni di Malaysia hanya laku apabila ia menghibur.

Berbeza dengan lagu-lagu yang mencabar status quo muzik tempatan, yang bereksperimentasi berapi-api, yang meneroka ceruk seni baharu – ini yang bermakna.

Dan lagu-lagu yang bermakna ini jarang-jarang dihargai, walaupun kewujudannya penting. Pencipta dan pelantunnya ialah soldadu yang tidak ditugu.

Seorang raja bernama lazim

Kesukaan dan keselesaan kepada sesuatu yang lazim itu memang sudah tertanam dalam biologi manusia. Kita mudah menerima sesuatu yang biasa didengar sebab otak sudah selesa dengan rangsangan yang lazim.

Bagi pengkarya yang fokusnya perniagaan, sifat semula jadi manusia ini adalah kesempatan yang wajib diambil. Sebab itu kunci kejayaan dalam muzik arus perdana ialah kelaziman. Karya formulaik hampir pasti mengundang keuntungan.

Selama berpuluh tahun, arena pop Malaysia dikuasai lagu balada. Tak kira apa zamannya – asli, pop yeh yeh, rock – yang menguasai carta-carta ialah rentak balada yang kebanyakannya meratap dan bertema cinta.

Dr. Raja Iskandar Raja Halid, seorang ahli etnomuzikologi dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerbitkan kertas kerja untuk Simposium Muzik Ipoh pada 2020, dengan tema Rock Kapak.

Dalam analisisnya, didapati 67 peratus pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak 1986 hingga 2019 merupakan lagu dalam genre balada pop yang berentak perlahan.  Dari segi nada, 58 peratus pemenang AJL menggunakan nada minor.

Rock merupakan era paling fenomenal dalam sejarah muzik Malaysia. Pengaruhnya sampai ke ceruk kampung; di pedalaman Sabah dan Perak, anak muda berpakaian ganas dan garang kerana rock. Tapi lagu-lagu yang menangkap perhatian massa masih balada, cuma disarung persalinan dan efek instrumen yang rock.

Daripada 35 lagu kumpulan rock yang memasuki pusingan akhir AJL, 34 daripadanya merupakan balada rock, 32 dalam nada minor.

Formula pergerakan kord seperti Andalusian Cadence dan minor circle of fourths juga ada diulas. Mudah kata, kalau mahu tahu apa rahsia kejayaan lagu-lagu popular sepanjang zaman di Malaysia secara teknikal, anda baca kertas kerja ini (masih dijual dalam bentuk buku – Ipoh Music Symposium: Rock Kapak terbitan PORT Ipoh).

Genre balada, nada minor, formula pergerakan kord serta lirik meratap, mendayu dan merintih ini sudah disuap ke telinga kita sejak berpuluh tahun lamanya. Ini membentuk kelaziman, memberi mere-exposure effect dan membawa untung jutaan ringgit kepada pencipta dan pengkaryanya.

Muzik akuarium

Tapi saya tak suka ketakungan. Air yang bertakung akan membusuk, produk hidupannya hanyir dan tidak segar.

Sebab itu pengkarya yang bereksperimentasi, meluaskan horizon dan menawarkan pembaharuan itu perlu. Ini membolehkan industri muzik kita mengalir. Kadang deras, kadang perlahan; tak apa, asalkan mengalir.

Dunia kini lebih mengutamakan kelaziman dan keseragaman. Hidup dipandu algoritma dan hal sohor.

Muzik di negara kita tidak bertakung tetapi tidak juga mengalir. Ia berkitar macam air akuarium. Airnya masih sama, cuma setiap kali berkitar ia dibersihkan dengan elemen-elemen baharu.

Saya berpuas hati dengan situasi ini. Cuma dalam dada ini terbuku harapan supaya mereka yang berani meneroka segala ceruk seni muzik diberi penghargaan yang lebih.

Itulah harapan. Harapan berbahaya, boleh buat orang gila, kata Red. Tapi harapan itu baik, mungkin yang terbaik dan hal yang baik tak pernah mati, kata Andy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya