LAMA menyepi daripada membuat kemunculan di televisyen (TV) tidak bermakna penyanyi terkenal, Harris Fadzillah Daud meninggalkan dunia seni buat selamanya.
Hakikatnya, Harris atau Aris Ariwatan masih aktif memenuhi undangan persembahan nyanyian.
Kemunculannya sempena konsert Semangat Zaman yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 29 September depan bakal mengubat rindu peminat setianya.
Penyanyi bersuara ‘jantan’ ini ketika berkongsi tentang konsert tersebut baru-baru ini meluahkan rasa teruja kerana diberi peluang sekali lagi berkongsi pentas dengan barisan legenda Rock tanah air seperti Datuk Nash (Lefthanded), Yantzen (Rusty Blade), Jatt (Black Dog Bone), Rahmad (Mega) dan ramai lagi.
“Saya rasa seronok kerana konsert ini menyatukan semula rakan-rakan seperjuangan yang jarang berjumpa satu dengan lain.
“Pada usia begini, ditambah dengan kesibukan masing-masing, kami jarang berpeluang untuk berkumpul bersama-sama.
“Konsert ini sangat bermakna untuk saya dan rakan-rakan Rockers lain. Ia menjadi acara yang menyatukan kami semua,” katanya.
Menurut Aris, semua penyanyi terlibat ketika ini sibuk menjayakan rangka promosi untuk menguar-uarkan tentang konsert berkenaan.
“Saya akan turun ke Kuantan, Pahang bagi mempromosikan konsert Semangat Zaman bersama radio Sinar,” katanya teruja.
Konsert yang meraikan ulang tahun ke-20 album kompilasi Semangat Zaman itu juga akan menampilkan Bandi Amuk, Joey (Bumiputera Rockers) dan Muss (May).
ARIWATAN
Kumpulan Ariwatan yang ditubuhkan pada 1988 sempat menghasilkan sebuah album, Ariwatan sebelum band tersebut berpecah pada 1989.
Menurut Harris, banyak faktor yang membuatkan kumpulan tersebut gagal lama bertahan, antaranya masalah komitmen serta sambutan album yang kurang memberangsangkan.
“Kami datang ke Kuala Lumpur pada 1987, menumpang rumah abang saya sebelum berpindah ke Taman Segar, Cheras. Hubungan kami tak ubah seperti adik beradik, tinggal satu bilik, masak sama-sama dan keluar cari show juga bersama-sama.
“Band Ariwatan terdiri dalam kalangan anggota yang berbakat besar dalam bidang muzik. Arrangement lagu, gitar dan dram semuanya kami cipta sendiri.
“Kebolehan kami dihidu pemuzik terkenal, Hussin menerusi sesi uji bakat yang dianjurkannya. Selepas itu kami diberi peluang rakam album yang dipasarkan pada 1988.
“Waktu itu, gitaris kami, Nan memilih untuk tidak menetap di Kuala Lumpur dan selesa berulang alik dari Ipoh, Perak. Keadaan itu membuatkan kumpulan ini sentiasa kekurangan ahli. Masalah itu tak pernah dibangkitkan dan dibiarkan berterusan,” kongsinya.
Ujar Aris, usaha pihak tertentu yang berjaya menarik keluar beberapa ahli dalam kumpulan tersebut juga menjadi sebab mengapa Ariwatan terkubur selepas lebih dua tahun.
“Saya anggap Ariwatan sebagai sebuah syarikat. Sebagai contoh, kami pastikan setiap ahli terima ‘gaji’ sama rata, wang yang kami terima hasil membuat persembahan selebihnya dibelanjakan untuk makan minum, sewa bilik, perbelanjaan cari show dan sebahagiannya juga akan disimpan dalam akaun kumpulan.
“Kami terpaksa berpuas hati dengan pendapatan yang rendah. Saya kata kepada ahli Ariwatan yang lain, kalau mahu pendapatan bertambah, kami perlu kerja lebih keras, buat lebih banyak show dan hasilkan lebih banyak lagu yang berkualiti.
“Ariwatan terus bergerak ke depan. Sehinggalah muncul anasir-anasir luar menghasut, menjanjikan bulan dan bintang kepada beberapa ahli agar keluar band dan sertai entiti lain. Termakan hasutan, ahli lain menyuarakan hasrat untuk keluar Ariwatan dan membawa haluan masing-masing. Jujur saya katakan ketika itu saya sangat kecewa.
“Bayangkan kami datang dari kampung, susah senang bersama-sama. Akhirnya, mereka keluar bilik sewa, angkat tilam dan baju, tinggalkan saya sendirian. You tell me how I feel at that time?” ceritanya.
UTOPIA
Berkongsi lanjut, Harris menceritakan tentang kehadiran seorang sahabat yang membantu ketika dia terumbang-ambing selepas ditinggalkan ahli Ariwatan lain.
“Saya berterima kasih kepada komposer, Ruslan Mamat yang membantu, menggunakan khidmat saya untuk menerbitkan kumpulan Utopia.
“Saya groom band tersebut dengan menggunakan konsep sama yang dilakukan terhadap kumpulan Ariwatan. Saya letak perjanjian, setiap RM50 daripada hasil keseluruhan pendapatan membuat persembahan perlu disimpan dalam akaun kumpulan untuk memastikan band tersebut ada wang simpanan.
“Saya gembira dan bersyukur kerana Utopia meletup dengan lagu Mithali dan bertahan agak lama dalam industri seni,” kongsinya.
KEKALKAN NAMA ARIWATAN
Aris dalam pada itu menyangkal laporan sebuah laman sesawang yang mendakwa kononnya dia pernah berhasrat untuk menggugurkan nama Ariwatan pada namanya.
Jelasnya, dakwaan itu tidak benar dan dia tidak pernah bersetuju untuk membuat tindakan sedemikian.
“Ketika menyertai syarikat rakaman EMI, pengurus saya, arwah Azmi mencadangkan agar saya gugurkan Ariwatan dan hanya menggunakan nama Aris kerana pada pandangannya, lebih bagus.
“Saya tidak bersetuju dan bertegas mahu kekalkan Ariwatan pada nama saya kerana ia membawa makna yang besar disebabkan kerana tercipta hasil gabungan nama anggota Ariwatan,” jelasnya.
PERMAIDANI
Ditanya tentang lagu, penyanyi berusia 58 tahun ini mengakui Permaidani yang dirakam pada 1992 adalah naskhah yang cukup bermakna untuknya.
Katanya, lagu tersebut mempunyai kekuatan tersendiri dan berjaya tanpa dipromosikan secara besar-besaran.
“Lagu itu ada rohnya sendiri. Ia dicipta empat sahabat termasuk saya dalam santai, tanpa mengharapkan ia menjadi popular atau berjaya meraih perhatian. Kuatnya Permaidani terletak pada kejujuran kami menulisnya ketika itu.
“Untuk makluman, lagu itu pernah ditolak EMI sebelum ia dimasukkan dalam album Balada Orang Berdosa. Tetapi saya pertahankan, katakan kepada pihak EMI, take it or leave it. Akhirnya, ia dipilih sebagai lagu kesepuluh yang dimuatkan dalam album tersebut.
“Lagu itu istimewa, sehingga menarik minat beberapa penyanyi lain, termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Datuk Nassier Wahab dan ramai lagi untuk dirakamkan semula.
“Pada masa sama, Permaidani juga menjadi antara lagu perintis yang dijadikan lagu latar drama Melayu yang ditayangkan pada bulan Ramadan satu ketika dahulu,” kongsinya.