Muhyiddin saman Anwar fitnah isu pelupusan hutang peneroka

Muhyiddin saman Anwar kerana fitnah isu pelupusan hutang peneroka Felda

MUHYIDDIN YASSIN dan ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaman Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan menyampaikan ucapan berbaur fitnah berkaitan isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bernilai RM8.3 bilion.

Writ saman itu difailkan semalam di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhyiddin selaku plaintif mendakwa Perdana Menteri (defendan) mengeluarkan kenyataan memfitnah yang membawa maksud beliau berbohong berkenaan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Ujar Ahli Parlimen Pagoh itu, kenyataan berbaur fitnah tersebut dikeluarkan menerusi ucapan semasa sambutan ‘Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan 2023’ di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu.

Sambutan itu disiarkan secara langsung melalui Facebook Live di halaman Facebook defendan dengan nama ‘Anwar Ibrahim’.

Melalui siaran Facebook sehari selepas itu, plaintif menafikan kenyataan fitnah pertama defendan dan menjelaskan bahawa pelupusan hutang RM8.3 bilion tersebut telah dilaksanakan pada 2021 dan ia dibuktikan melalui Penyata Kewangan Felda Bagi Tahun Kewangan Berakhir 2021.

Ujarnya, perkara itu disokong oleh kenyataan media Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh pada 24 Februari lalu bahawa pelupusan hutang RM8.3 bilion daripada RM12.1 bilion telah dilaksanakan pada 2021.

Ujar Muhyiddin, tanpa mengendahkan penjelasan beliau dalam siaran Facebook itu, Anwar terus memfitnah plaintif semasa berucap hari yang sama pada sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan mengatakan bahawa hutang peneroka Felda masih tidak dilupuskan.

Menurut plaintif, pada 13 Julai lalu, Anwar sekali lagi memutar belit kenyatan fitnah pertama dan kedua dengan mendakwa beliau yang mengeluarkan peruntukan untuk meluluskan pelupusan hutang RM8.3 bilion yang mana kemudian disiarkan dalam halaman YouTube Astro Awani.

Bekas Perdana Menteri kelapan itu mendakwa, Anwar memfitnahnya bahawa beliau tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sepanjang memegang jawatan itu selama tiga tahun 33 bulan sehingga menyebabkan hutang meningkat.

Pernyataan tuntutan itu juga menyatakan, kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Kewangan berkaitan sukuk RM9.9 bilion adalah cubaan Anwar untuk memutar belit, memanipulasi serta mengelirukan orang ramai bahawa beliau (Anwar) yang melupuskan hutang itu baru-baru ini.

Menurut Muhyiddin, Anwar menandatangani satu dokumen pada 26 Jun lalu dan menyatakan bahawa dokumen tersebut adalah berkenaan sukuk Felda sebanyak RM9.9 bilion dan geran 10 tahun oleh kerajaan sebanyak RM990 juta setahun.

Melalui siaran Facebook pada 21 Julai lalu, plaintif menjelaskan bahawa defendan sengaja menyalahtafsir dan menyamakan dokumen yang dikemukakan sebagai dokumen pelupusan hutang peneroka Felda, walhal dokumen yang didakwa ditandatanganinya adalah untuk sukuk.

Muhyiddin juga mendakwa, Anwar mengetahui bahawa penerbitan kenyataan fitnah tersebut akan menjatuhkan dan memburukkan nama parti politik yang dipimpinnya.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif selaku Perdana Menteri bersama Menteri Kabinetnya telah melaksanakan berbagai rancangan pemulihan negara semasa tempoh pandemik Covid-19.

Antaranya termasuk melupuskan 80% daripada sejumlah RM12.1 bilion hutang peneroka Felda melibatkan RM8.3 bilion melalui keputusan Majlis Jemaah Menteri (MJM) pada 14 Oktober 2020.

Keputusan lain termasuk meluluskan terbitan Sukuk RM9.9 bilion yang dijamin kerajaan untuk meningkatkan ekuiti Felda dalam FGV
Holdings Berhad.

Bekas Perdana Menteri menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk yang masing-masing sepadan dengan jumlah RM200 juta seperti yang dituntut oleh Anwar ketika membalas surat tuntutan beliau.

Muhyiddin juga memohon perintah agar Anwar memadamkan video siaran langsung dalam Facebook bertajuk `Sambutan Hari Peneroka Felda
2023′, di bawah nama `Anwar Ibrahim’ dengan serta-merta.

Beliau juga memohon perintah supaya Anwar memadamkan video siaran langsung Facebook dan YouTube bertajuk `Temu Anwar Kedah @ UUM’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya