Muda pertaruh 20 calon PRN, calon paling tua 59 tahun

MUDA pertaruh 20 calon PRN, calon paling tua 59 tahun

ABE LIM HOOI SEAN dan LIM KIM NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) secara rasmi mengetengahkan seramai 20 calon yang akan bertanding dalam enam pilihan raya negeri (PRN), bulan depan.

Majoriti daripada keseluruhan calon berkenaan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor (14) dan Pulau Pinang (tiga).

Muda hanya mempertaruh dua calonnya bertanding di Negeri Sembilan iaitu DUN Temiang dan Repah, manakala hanya satu calon di Terengganu (Bandar).

Bagaimanapun, tiada calon yang akan bertanding di Kedah dan Kelantan, malah tidak ada penjelasan daripada parti berhubung perkara itu.

Dalam sidang media hari ini, Muda mengumumkan 10 calon bagi kumpulan terakhir (ketiga) yang antaranya ialah Abe Lim Hooi Sean, 27, (Bandar Utama).

Kerusi itu dimiliki Pakatan Harapan (PH)-DAP, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan penyandangnya, Jamaliah Jamaluddin menang dengan undi majoriti 34,679 secara tiga penjuru.

Pada Jun tahun lalu, media melaporkan, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa seorang saksi pendakwaan mengesyaki Hooi Sean didakwa bersubahat dengan seorang lagi individu berhubung kehilangan wang anggaran RM250,000 daripada peti besi di rumah Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau ketika ini mempunyai rekod bersih dan tidak pernah didakwa atas sebarang pertuduhan.

Sementara itu, calon Muda paling berusia yang akan bertanding diumumkan hari ini ialah peguam, Lim Kim Noor, 59, di DUN Batu Uban, Pulau Pinang. Seorang lagi calon bertanding di negeri itu ialah H. Vikneswary, 36, (Perai).

Calon bertanding di Selangor ialah T. Kalyana Rajasekaran, 44, (Bukit Gasing); Azad Akbar Khan, 35, (Kota Anggerik); Zayd Shaukat Ali, 27, (Subang Jaya); Aida Nazeera Abd. Rahman, 30, (Taman Templer) dan Noor Faralisa Redzuan, 41, (Pandan Indah).

Sementara itu, dua calon yang dipertaruh di Negeri Sembilan ialah Ahmad Qusyairi Abdull Rahim, 34, (Temiang) dan Muhammad Noriswan Bin Ishak, 32, (Repah).

Muda sebelum ini telah mengumumkan 10 calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini.

Sidang media hari ini dihadiri Syed Saddiq, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz; Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd. Hadi dan Ketua Penerangan Muda, Luqman Long. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN