PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) baru-baru ini memperkenalkan dua teknologi baharu daripada kluster bioteknologi dan makanan untuk pengkomersialan di Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) MPOB 2023 .yang diadakan baru-baru ini.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi baharu itu adalah True-to Type Versi 2–Platform Genotaip BeresolusiTinggi untuk Pengenalpastian Pokok Induk dan keju mozzarella analog berasaskan sawit.
“Teknologi True-to Type Versi 2 – Platform Genotaip Beresolusi Tinggi untuk Pengenalpastian Pokok Induk adalah platform asid deoksiribonukleik (DNA) beresolusi tinggi bagi memastikan hanya pokok sawit yang mempunyai keturunan genetik yang dikehendaki ditanam dalam ujian biak baka dan ladang komersial.
“Platform itu juga berguna untuk membantu penubuhan pangkalan genetik serta menambah baik pengurusan dan kawalan kualiti bahan yang dibiakkan di tapak semaian dan komersial serta di makmal kultur tisu,” katanya
Beliau berkata, keju mozzarella analog berasaskan sawit diformulasikan dengan menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu, tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.
Keju mozzarella analog berasakan sawit mempunyai kualiti dan fungsi yang setara dengan keju Mozzarella komersial berasaskan susu dan sesuai digunakan dalam pembuatan pizza.
Sementara itu, menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, yakin dengan kerjasama penggiat industri dan syarikat tempatan dalam pengkomersialan teknologi sawit yang diketengahkan oleh para penyelidik MPOB ini akan memacu kemajuan industri sawit dan kesejahteraan ekonomi negara.
KETUA Pegawai Eksekutif Briar Resources Sdn. Bhd. Wayne Lai Soon Wei menunjukkan dua baja teknologi baharu yang diperkenal pada TOT MPOB 2023 baru-baru ini
“Sehingga kini sebanyak 714 teknologi dan 194 perkhidmatan daripada sektor huluan hingga hiliran yang merangkumi pelbagai sektor industri telah dihasilkan melalui aktiviti R&D MPOB untuk pengkomersialan dan diguna pakai oleh pihak industri.
“Teknologi MPOB yang sedia untuk dikomersialkan meliputi pengeluaran bahan tanaman berkualiti, baka klon sawit, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, mekanisasi ladang, teknologi pengilangan dan pemprosesan, teknologi hijau, formulasi produk makanan dan makanan haiwan serta produk oleokimia berasaskan sawit,” katanya pada program TOT tersebut
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Menurut beliau, penggunaan jentera ladang dan pemotong tandan sawit bermotor (CANTAS) yang dibangunkan oleh MPOB berupaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
“Penggunaan baja formulasi MPOB yang mengandungi nutrien dan mineral lengkap meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh pokok sawit. Pematuhan Amalan Pertanian Baik secara menyeluruh dalam industri sawit akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kualiti minyak sawit,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Helmy berkata, MPOB turut melancarkan produk baharu hasil penyelidikan dan inovasi penyelidik di TOT 2023 iaitu baja MPOB F5 Improved dan Premium yang dikeluarkan oleh Briar Resources Sdn. Bhd.
“MPOB F5 Improved dan Premium merupakan formulasi baja MPOB terkini yang mengambil kira keperluan amalan pertanian baik dan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar..
“Turut dilancarkan adalah pelet makanan lembu pedaging berasaskan sawit yang dikeluarkan secara komersial oleh Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ),” katanya.
Menurut Helmy, produk makanan ternakan yang menggunakan bahan sawit tempatan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah ternakan dengan mutu yang setanding tetapi dengan harga yang lebih kompetitif.
“TOT MPOB 2023 juga menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian pemindahan teknologi antara MPOB dan lima syarikat tempatan iaitu Sawit Kinabalu Farm Products Sdn. Bhd., Pj Hytech Industries, FNB Solutions Sdn. Bhd., My Haiz Sdn. Bhd., dan Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (SALCRA).
“MPOB juga memeterai memorandum persefahaman dengan SME Corporation Malaysia (SME Corp.) bagi kerjasama pengkomersialan teknologi berasaskan sawit kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, TOT MPOB 2023 adalah acara tahunan yang bertujuan memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu hasil penyelidikan dalam sektor sawit. Ia menyediakan peluang kepada yang berminat untuk pengkomersialan teknologi dalam industri sawit.
“Bagi pengkomersialan teknologi, MPOB turut menyediakan peluang perniagaan kepada para usahawan termasuk Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) bagi melibatkan dalam perniagaan bagi pengeluaran produk berasaskan sawit secara komersial di pasaran.
“Teknologi yang dihasilkan oleh penyelidik MPOB turut dilindungi harta inteleknya sebelum dikomersialkan bagi melindungi hak penyelidik dan syarikat yang mengkomersialkan teknologi ini,” katanya.
TOT MPOB 2023 juga menganjurkan sesi perkongsian pengkomersialan teknologi oleh syarikat yang telah mengadakan kolaborasi dengan MPOB dan agensi penyedia pembiayaan dan dana perniagaan. -UTUSAN