KANGAR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang mendapatkan input daripada pelbagai pihak bagi pelaksanaan model gaji progresif dalam membantu menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.
Selain itu, kerangka model yang bakal dibentangkan itu juga seharusnya mengambil kira aspek ekonomi di negara ini bagi memberi manfaat kepada semua pihak.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, pihak-pihak yang akan dilibatkan bagi memberi input berkenaan adalah membabitkan sektor industri, kesatuan pekerja, majikan dan pelbagai lagi bagi membolehkan satu polisi terbaik dapat diwujudkan demi kebaikan semua pihak.
“Secara prinsipnya KSM dan Kementerian Ekonomi sememangnya bersetuju untuk melihat tentang kerangka model gaji progresif ini dan kita sedang mendapatkan input daripada pelbagai pihak terlebih dahulu,” katanya selepas Program Outreach TVET Madani Jom Pilih Kemahiran Zon Utara 2023 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar, di sini, hari ini.
Kerajaan sebelum ini menuntut komitmen dan kerjasama sektor swasta dalam memastikan pelaksanaan dasar kenaikan gaji progresif yang bertujuan untuk menangani kenaikan kos sara hidup.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji rakyat dengan kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, KSM juga dikatakan bakal membentangkan perkara itu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Ogos depan.
Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata, perbincangan juga akan dilaksanakan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Kementerian Ekonomi bagi membolehkan pelaksanaan kerangka model gaji progresif itu dapat dilaksanakan mengikut situasi semasa di negara ini.
“Kita juga akan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara bagi melihat tahap gaji yang wajar buat pekerja,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Mustapha berkata, penganjuran Outreach itu merupakan siri jelajah ketiga yang diadakan pada tahun ini sebagai platform bagi memberikan pendedahan awal berkenaan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar.
Katanya, program itu juga melibatkan kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan negeri menerusi penganjuran Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Outreach kali ini membawa konsep melibatkan lima hub iaitu Skills Exhibition Hub, Skills Seminar Hub, Skills Job Fair Hub, Skills Challenge Hub dan Skills Entrepreneur Hub,” katanya.-UTUSAN