PETALING JAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) telah merancang enam program untuk masyarakat India bagi tahun 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra, Datuk R. Ramanan berkata, program-program tersebut memberi tumpuan kepada pendidikan dan pengajian tinggi, keusahawanan dan kerjaya serta kesejahteraan sosial.
“Mitra akan memastikan proses penyaluran akan dilaksanakan dengan terurus dan terancang.
“Untuk program penyaluran geran pula akan diumumkan dalam masa terdekat ini selepas segala proses pemilihan dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan.
Program pertama yang diumumkan Mitra adalah Program Subsidi Bayaran Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi pelajar India di institusi pengajian tinggi.
Program itu menyaksikan seramai 10,000 mahasiswa dalam pengajian tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian Ijazah akan menerima bantuan subsidi bayaran yuran semester secara one-off bernilai RM2,000.
Setakat ini Mitra telah menerima 5,000 permohonan dan jumlah ini dijangka akan meningkat dalam masa terdekat manakala bayaran tersebut akan mula disalurkan kepada mahasiswa secara berfasa mulai Ogos 2023.
Selain itu, kata Ramanan, program subsidi bayaran yuran tersebut itu juga akan dibuka kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang sedang belajar di tahun kedua, tahun ketiga atau tahun akhir.
“Dijangkakan bantuan subsidi ini dapat mengurangkan beban kewangan pelajar dan ibu bapa khususnya dalam memastikan pengajian tinggi tidak terganggu disebabkan masalah kewangan,” katanya.
Program kedua diumumkan Mitra adalah Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.
Kata Ramanan, Mitra menandatangani dokumen perjanjian dengan kumpulan pertama seramai 42 pengurus tadika dengan seramai 1035 kanak-kanak pada 14 Julai 2023 melibatkan penyaluran subsidi sebanyak RM2,484,000.00.
Katanya, dokumen perjanjian untuk kumpulan kedua melibatkan 71 tadika dengan 2123 kanak-kanak dengan jumlah penyaluran sebanyak RM5,095,200.00 akan ditandatangani pada 27 Julai 2023.
“Penyaluran subsidi akan bermula pada Ogos 2023. Subsidi pendidikan akan dibayar terus kepada pengusaha-pengusaha tadika,” katanya.
Selain itu, Mitra turut mengadakan kerjasama dengan Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (WASSB) iaitu Pogram Licensed Aircraft Maintenance Technicians-LAMT (CAAM Part 66 Category A1/A3).
100 orang belia India akan dilatih untuk menjadi Certified Technician dengan pensijilan dan lesen daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) serta diberikan penempatan kerja apabila tamat latihan nanti.
Permohonan untuk latihan tersebut akan dibuka mulai 26 Julai 2023. Permohonan adalah secara atas talian www.mitra.gov.my manakala permohonan adalah selama sebulan dan tarikh tutup permohonan pada 30 Ogos 2023.
Mitra turut memperkenalkan Program Teknikal Drone Operations & Data Services (DRONE) dan Electrified Automation Advancement Programme (EAAP) dengan kerjasama SG Education Group.
Seramai 150 orang belia India akan menyertai program Drone manakala 250 orang belia India B40 akan menyertai Program EAAP dan diberi pensijilan daripada Institute of the Motor Industry (IMI) yang juga dilengkapi dengan penempatan kerja.
Permohonan untuk latihan tersebut akan dibuka mulai 26 Julai 2023. Permohonan adalah secara atas talian www.mitra.gov.my dan permohonan adalah selama sebulan dan tarikh tutup permohonan adalah 30 Ogos 2023.
Mitra turut melaksanakan Program Bantuan 6000 komputer riba (refurbished) untuk makmal komputer Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan kerjasama Google Malaysia mensasarkan 527 sekolah SJKT dengan program ini akan bermula mulai Ogos 2023.
Dalam pada itu, Mitra turut mengadakan Program subsidi bantuan dialisis untuk masyarakat India mensasarkan 900 pesakit kronik buah pinggang yang akan menerima subsidi sehingga RM9600 untuk tempoh setahun.
Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pusat-pusat dialisis yang sedia ada dan bayaran akan disalurkan terus ke pusat dialisis.
Penyaluran subsidi akan bermula pada Ogos 2023 dan subsidi tersebut akan dibayar terus kepada pusat-pusat dialisis yang telah diluluskan. – UTUSAN