PUTRAJAYA: Malaysia tekad dengan pendirian agar proses pendengaran kes MH17 mengenai penyelesaian perbezaan antara pihak berkonflik yang diputuskan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dilaksanakan secara adil dan benar.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia tetap memastikan proses pendengaran yang diputuskan pada 17 Mac lalu dibuat secara benar memenuhi elemen akauntabiliti.
“Keputusan kes jenayah penerbangan MH17 diputuskan Mahkamah The Hague di Belanda pada 17 November 2022.
“Kesimpulannya, keputusan itu menandakan peristiwa penting dalam memberi kebenaran dan mendedahkan keadilan bagi 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang berada dalam pesawat itu,” katanya hari ini.
Susulan itu, Kementerian Pengangkutan terus mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh keluarga yang terlibat dalam nahas penerbangan MH17 yang memasuki tahun kesembilan.
Pada 17 Mac lalu, Majlis Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi dan memutuskan untuk mendengar kes terhadap Russia berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada tahun 2014.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Luar Australia, Penny Wong serta Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra dengan kedua-dua negara itu memulakan tindakan berhubung insiden MH17 pada tahun lalu di ICAO.
Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di timur Ukraine yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia.
Siasatan antarabangsa mendakwa peluru berpandu BUK adalah milik Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 tentera Rusia yang berpusat di bandar Kursk bertanggungjawab terhadap insiden tersebut. – UTUSAN