PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 18 Julai ini iaitu Selasa depan.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR menerima Laporan Hakim Pilihan Raya semalam sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah yang membatalkan pilihan raya bagi Parlimen tersebut pada 19 November tahun lalu.
Kata beliau, mesyuarat khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu.
“Ia seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd. Zubir Embong.
Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15. – UTUSAN