Merewang Pak Awang, sebuah filem gila yang berjaya! - Utusan Malaysia

Merewang Pak Awang, sebuah filem gila yang berjaya!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUJUNG tahun lalu, kecoh juga di laman sosial seorang perempuan menceritakan kisah majlis perkahwinan adiknya yang huru-hara apabila ditipu sebanyak RM12,000 oleh sebuah syarikat katering.

Makanan tak sampai, pelamin tiada, khemah tak dipasang. Ada juga sebuah kisah dua tahun lalu di Meru, Selangor apabila kenduri terpaksa dibatalkan kerana tiba-tiba banjir.

Ketika sedang memandu, saya pernah mendengar cerita seorang pemanggil di radio mendedahkan warna baju persandingannya berbeza dengan pasangan di pagi kenduri kerana tertukar.

Dalam kata lain, kisah huru-hara dan kekecohan majlis kahwin adalah nyata.

Adlin Aman Ramlie turut merakam peristiwa kekecohan kenduri kahwin dengan penuh bergaya dalam filem perdananya Merewang Keluarga Pak Awang.

Menerusi filem debutnya, Adlin meletakkan Zizan Razak, Sabri Yunus dan Adriana Adnan sebagai pelakon taruhnya.

Merewang Keluarga Pak Awang menceritakan tentang Pak Awang iaitu seorang bekas komander yang merancang sendirian kenduri perkahwinan anak bongsunya.

Dalam proses itu, ada bermacam helah dan cabaran yang terpaksa dihadapinya garagara bekas teman lelaki anaknya bernama Dol.

STRUKTUR FILEM KEMAS, MENJADI

Saya pernah (tapi tidak kerap) berasa kecewa menonton filem komedi kerana dua perkara.

Pertama, sama ada jalan ceritanya tidak kemas atau yang kedua, lawak yang disajikan sangat hambar, seperti terlalu mencuba atau bersifat seksis.

Sewaktu act pertama berjalan, saya mengakui sempat ragu filem ini akan berjaya memancing saya. Ada beberapa dialog kurang jelas kerana terdapat karakter yang bercakap serentak pada masa sama.

Juga, di awal filem ini ada beberapa pertukaran sudut kamera yang terlalu kerap di dalam sesuatu babak, ia seperti melompat dan mengganggu perhatian saya untuk mencermati dan menikmati bahagian tersebut.

Namun begitu, act kedua filem ini mula menghadiahkan sebuah momentum yang lebih baik dan mengesankan mungkin kerana karakter di dalam bahagian ini sudah mula matang.

Lawak demi lawak mula terselak dan pujian harus diberikan kepada aksi bersahaja Dol dan rakan-rakannya. Merekalah warna utama kepada filem ini. Merekalah punca saya lebih banyak ketawa.

Memasuki act ketiga, bahagian akhir filem ini adalah kesukaan saya. Ia menghapuskan rasa ragu-ragu dan membuatkan saya merasakan ini filem yang benar-benar kelakar dengan struktur filem yang sempurna.

Begitu mengagumkan. Alur ceritanya tidak sukar kerana Merewang Pak Awang adalah filem drama komedi.

Apa yang perlu saya berikan perhatian adalah bagaimana penulis skrip membina sebuah lawak jenaka, dalam keadaan kenduri yang penuh huru-hara dalam cara penuh bergaya.

Namun semua watak dan dialongnya terkawal dan dicipta dengan penuh berhati-hati.

Cukup rencam dan rencah hingga membuat saya terfikir, jika pengarah mahu menghasilkan sebuah cerita yang kelakar gila, ia harus menjadi benar-benar gila seperti Merewang Keluarga Pak Awang hingga membuatkan kami memukul bangku penonton menahan ketawa.

ADLIN DAN KEKAYAAN BUDAYA

Rewang adalah budaya kenduri yang sangat popular khususnya bagi masyarakat Jawa.

Saya bahagia melihat bagaimana Adlin tumbuh sebagai pengarah yang mencintai budaya.

Adlin membawa Muar dan Rewang di dalam nashkahnya sehingga bila difikir-fikir sudah langka untuk kita melihat tradisi dipersembahkan dengan baik menerusi lakon layar.

Filem khususnya. Selain itu, saya kagum apabila Adlin sangat teliti meletakkan skor muzik di dalam filemnya.

Kesemua muzik yang dimainkan merupakan lagu tradisional Melayu oleh arwah Pak Ngah.

Merewang Keluarga Pak Awang adalah filem debut yang berjaya. Ia sudah mula ditayangkan bermula 15 Julai di saluran Astro First.

Tontonlah filem ini kerana dalam hidup yang keras dan jahat, kita memerlukan jenaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya