Merekayasa diplomasi akademik Malaysia-Indonesia

Merekayasa diplomasi akademik Malaysia-Indonesia

KETUA Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman (tengah) diapit Prof. Datuk Ir. Dr Ahmad Fauzi Ismail (kiri) dan Pengerusi BRIN, Dr. Laksana Tri Handoko (kanan) bergambar bersama-sama delegasi Malaysia dan pihak BRIN yang turut disertai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md. Hasrin Tengku Hussin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA dan Indonesia menempa sejarah panjang hubungan diplomatik. Sejak kewujudan Malaysia, kepemimpinan negara sering melihat Indonesia sebagai rakan akrab, antara faktornya kerana persamaan bahasa, budaya dan agama kelompok majoriti.

Dalam konteks ‘diplomasi akademik’, banyak universiti di Malaysia dan Indonesia menjalin kerjasama khasnya bagi tujuan penyelidikan, mobiliti staf dan pelajar, penerbitan, penganjuran persidangan atau penyeliaan pelajar pasca siswazah secara bersama.

Namun selama ini, pada peringkat negara, kerjasama antara dua jiran tetangga ini belum pernah diformalkan dalam bentuk yang eksplisit.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melihat potensi besar Indonesia sebagai rakan strategik utama dan ia diterjemahkan menerusi inisiatif ‘UTM VC-Asia Tour@Indonesia’ sejak 2022.

Program kolaborasi yang lebih strategik, mampan dan melampaui norma serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak mula diterokai bersama rakan serumpun.

Impak kepercayaan yang dibina antara lain melibatkan pewujudan pejabat satelit UTM di Universitas Negeri Malang, Universitas Sriwijaya dan terkini di Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN).

Bagi meningkatkan keterlihatan penerbitan buku yang dihasilkan oleh UTM, kerjasama strategik turut dijalinkan antara Penerbit UTM bersama IPB Universiti Press.

Memasuki tahun 2023, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melihat pentingnya satu kolaborasi rasmi dijalin antara Malaysia dengan Indonesia dalam aspek diplomasi akademik.

Agenda KPT untuk mengangkat keupayaan universiti awam serta sumber intelektual akademik negara dan memposisikan Malaysia sebagai hab inovasi dan pembangunan bakat yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara dan serantau amat bertepatan pada masanya.

Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Jakarta, Indonesia sebagai usaha merapatkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan penyelidikan tempoh hari membuka peluang dan ruang kepada universiti awam untuk mengadakan kerjasama strategik secara serius dan tersusun mengikut bidang kebitaraan akademik dan penyelidikan yang dipelopori.

Sebagai contoh, Konsortium UTM-BRIN akan diwujudkan untuk memperkasa kerjasama akademik dan penyelidikan translasional dan tumpuan diberikan khasnya dalam kontrak penyelidikan, perundingan, kerjasama latihan dan pembangunan bakat kedua-dua entiti dan negara.

Rangkaian kerja penyelidikan BRIN yang luas di Indonesia dapat turut dimanfaatkan oleh rakan UA menerusi program-program khas.

Secara umumnya, Malaysia dan Indonesia mendepani persamaan cabaran dan menerusi ‘diplomasi akademik’ ini pastinya akan melakar satu peta baharu dalam menyahkunci potensi besar yang wujud dalam kedua-dua negara jiran tetangga.

Profesor Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ialah Naib Canselor UTM.

Dr. Muhammad Abd. Hadi Bunyamin ialah Eksekutif Penyelidik Pejabat Naib Canselor UTM.

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya