Menteri sokong tarik semula larangan pesawah Perak jual padi ke negeri lain - Utusan Malaysia

Menteri sokong tarik semula larangan pesawah Perak jual padi ke negeri lain

SHAM Mat Sahat (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM pada majlis di Bagan Serai.- UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyokong penarikan semula surat pekeliling yang dikeluarkan baru-baru ini yang melarang pesawah di Perak menjual padi ke negeri lain.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sokongan itu diterima selepas beliau berjumpa dengan Mohamad baru-baru ini bagi membincangkan mengenai surat pekeliling larangan tersebut yang dikeluarkan pada pada 20 Jun lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, Mohamad memahami kesukaran yang dihadapi pesawah di negeri ini berikutan larangan tersebut.

“Menteri menyokong rayuan kami dan pesawah di Perak diberikan kuota hingga 50 peratus untuk menjual padi di luar Perak.

“Dalam hal ini, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membeli padi hendaklah menghantar surat kepada Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras.

“Semua PPK di Perak yang membeli padi sudah pun menghantar surat dan difahamkan pihak kementerian telah pun sudah menerima surat tersebut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2022 Sekolah-Sekolah Parlimen Bagan Serai di Dewan Komuniti di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Sham meminta Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras menarik semula surat pekeliling yang dikeluarkan yang melarang pesawah di Perak menjual padi ke negeri lain.

Sham berkata, pekeliling itu boleh memberi kesan dan merugikan pesawah kerana ia akan menyebabkan pengilang swasta membeli padi dengan harga yang murah dan mengenakan kadar potongan yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN