TASEK GELUGOR: Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meluangkan masa menziarahi keluarga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu 19 Mei lalu.
Aaron turut menyantuni ibu Muhammad Hawari, Che Tom Hassan, 64, dan isterinya , Safiyyah Tang Xie Lie, 34, di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor, di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menyerahkan sumbangan yang dikumpulkan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.
“Inisiatif seumpama ini akan diteruskan selaras dengan tanggungjawab kementerian untuk memacu agenda perpaduan nasional bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia,“ katanya.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kassim dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad.
Pada 19 Mei lalu, Muhammad Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.
Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.
ME 2023 yang dianjurkan Altitude.MY itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang. – UTUSAN