Mengukur tanda aras pelawak hari ini - Utusan Malaysia

Mengukur tanda aras pelawak hari ini

DARI kiri, Fad daripada Kumpulan Bocey, Dato Ac Mizal (tengah) dan Sharif bersama Atu daripada Kumpulan Zero ketika sidang media Konsert Muzika Lawak Nusantara.-UTUSAN/ M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU demi satu penganjur mengintai nama-nama penyanyi yang dirasakan cukup gah untuk melariskan sebuah konsert. Penyanyi dalam dan luar negara bersusun menunggu giliran, memenuhi jadual dengan latihan sebelum muncul di panggung.

Namun Ifix Studio dan Mesaton Ventures memilih percaturan lain. Mereka hadir dengan sebuah konsert berkonsepkan lawak muzikal yang belum pernah ditampilkan di Malaysia sebelum ini

Konsert Muzika Lawak Nusantara itu bakal membawakan barisan pelawak terkenal dari Malaysia dan Indonesia seperti kumpulan Zero yang menggabungkan trio adik beradik, Sharif, Atu dan Melati. 

Selain itu Bocey turut terlibat dalam konsert ini sekali gus menjadikannya sebagai persembahan pertama selepas kehilangan Abam pada tahun 2020. 

Turut serta ialah pelawak dari Indonesia iaitu Rina Nose, Sule dan Aziz Gagap sementara Dato’ Ac Mizal dilantik untuk mengemudi acara sepanjang konsert yang dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos 2023 di Stadium Malawati Shah Alam.

Sambutan konsert jadi penanda aras

Konsert Muzika Lawak tidak hanya sekadar konsert, ia juga dianggap kayu ukur adakah momentum persembahan mereka berjaya melahirkan gema dan menciptakan konsert lawak sekali lagi di Malaysia pada masa akan datang.

“Ada dua cabaran yang perlu pelawak tangani. Pertama dari aspek kandungan. Kedua, jangka masa persembahan pada malam itu yang berdurasi 30 minit. 

“Jika sebelum ini mereka buat persembahan di kaca televisyen dalam durasi yang 8 minit. Namun, semasa konsert itu nanti mereka kena bina persembahan yang bertahan sehingga setengah jam di pentas yang besar. 

“Ini pertama kali konsert seperti ini diadakan di Malaysia. Saya percaya para pelawak boleh lakukan dan mereka kena lakukan. Jika mereka berjaya, ini akan menjadi kayu aras untuk banyak lagi konsert sebegini akan muncul,” kata Ac Mizal ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, Pengarah Mesaton Ventures, Azroy merasakan konsert seperti ini juga adalah sebuah penghormatan kepada barisan pelawak yang selalunya dilihat menghiasi slot-slot kecil di televisyen. 

“Pelawak selalu dilihat menjadi pemain industri di slot kecil. Jadi, melalui konsert ini kita mahu mengetengahkan para pelawak yang telah mencetuskan fenomena dalam industri komedi mereka baik Malaysia mahupun di Indonesia.

“Semoga gabungan ini boleh mengukuhkan lagi ikatan antara dua negara,” tambahnya.

Faham dengan kontroversi kandungan lawak yang tular bulan lalu, pihak penganjur telah mengingatkan para pelawak untuk menyediakan sebuah persembahan humor yang bernas tanpa menyentuh sensitiviti kedua-dua negara. 

TERHARU DENGAN PELUANG 

Mengakui bukan selalu barisan pelawak diberikan peluang untuk beraksi di pentas mega, kumpulan Zero menyifatkan kesempatan ini sebagai rezeki bagi membuktikan kemampuan diri mereka.

“Kami sudah empat tahun tidak tampil buat persembahan bersama sehingga ada yang menyangka kami sudah berpecah. Dengan konsert ini, kami boleh lakukan persembahan bersama semula. 

“Bila sebut Zero, memang anda boleh jangka persembahan yang hura-hara pada malam itu nanti. Kami sedang lakukan persiapan untuk sketsa 30 minit khas buat penonton yang merindukan kami,” kata Sharif mewakili kumpulan itu. 

Turut berkongsi perasaan yang sama ialah  juara Maharaja Lawak Mega, Bocey yang mengakui sudah lama menyimpan perasaan rindu untuk tampil di pentas komedi buat peminat.

“Saya dan Achey tidak berasa tertekan malah kami sangat teruja dan tidak sabar untuk beraksi di hadapan peminat. Mereka akan nampak Bocey dengan warna yang berbeza setelah arwah sudah tiada.

“Kita akan selitkan banyak lagu berunsur nasihat yang dibantu dengan band gabungan Malaysia dan Indonesia,” kata Fad.

Harga tiket untuk Konsert Muzika Lawak sudah mula dijual bermula dari RM368 (VVIP), RM328 (VIP), RM188 (Red Zone), RM188 (Yellow Zone), RM188 (Purple Zone) dan RM128 (Blue Zone).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya