KUALA SELANGOR: Kejadian mendapan tanah yang berlaku di Kilometer 66.1 berhampiran Plaza Tol Bentong Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak pada malam tadi dikenal pasti berpunca daripada runtuhan terowong projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Runtuhan terowong pada kedalaman 13 meter dari permukaan lebuh raya menyebabkan mendapan seluas 9.5 meter lebar, 10 meter panjang 4.3 meter dalam, bagaimanapun ia dijangka kembali dibuka pada pukul 7 petang ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan kembali lebuh raya bergantung kepada penilaian akhir jurutera ECRL, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat pengendali, Anih Berhad.
“Pihak kontraktor mengambil tindakan menimbus kawasan mendapan dengan konkrit sejak malam tadi. Kerja-kerja turapan akan dimulakan sejuruh selepas konkrit keras.
“Saya puas hati kerana kerja kerja menimbus mendapan dibuat dengan secara cepat. Saya difahamkan jam 7 petang ini boleh dibuka untuk kegunaan semula. Peringkat awal difahamkan pembinaan terowong di bahagian bawah iaitu projek ECRL,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kerja-kerja pembinaan seksyen enam Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), hari ini.
Terdahulu, mendapan tanah tersebut dilaporkan berlaku sekitar pukul 8.30 malam tadi melibatkan kedua-dua arah, bagaimanapun insiden tersebut tidak mengakibatkan kemalangan pengguna lebuh raya.
Bagaimanapun, pengguna yang berada di laluan berkenaan ketika itu terpaksa membuat pusingan ‘U’ untuk keluar melalui persimpangan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Bentong Timur dan Barat .
Alexander Nanta menjelaskan, pengguna dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur ketika ini perlu keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula di Bentong Barat sementara dari arah Kuala Lumpur perlu memasuki susur LTU.
“Kenderaan yang menggunakan LTU dari Pantai Timur boleh meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Bagi pengguna dari KUala lUmpur menuju ke Gua Musang perlu keluar di persimpangan Bentong Barat dan masuk semula melalui persimpangan LTU.
“Bagi memastikan keselamatan pengguna, pasukan teknikal Anih Berhad LPT Ronda dengan kerjasama polis ditempatkan di lokasi bagi membantu menunjukkan arah lencongan pada laluan alternatif. Pengguna dinasihatkan mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi,” ujarnya. – UTUSAN