PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, amalan mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kata beliau, sebaliknya Perlembagaan hanya menekankan Kemelayuan Malaysia.
“Apakah kerajaan sekarang menolak the Rule of Law (kedaulatan undang-undang) termasuk Perlembagaan Malaysia yang tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
“Sebaliknya Perlembagaan menekankan Kemelayuan Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mempersoalkenyataan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Mohd. Huzaidi Mohd. Hussin yang memintanya menghentikan daripada memainkan sentimen melibatkan perkauman, sebaliknya beliau hanya menyuarakan peruntukan dalam Perlembagaan.
“Kerajaan sekarang mendakwa Malaysia adalah negara demokratik. Kononnya ada kebebasan bersuara. Saya hanya menyuarakan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Apakah mempertahan Perlembagaan Malaysia menyalahi undang-undang?” katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengikut manifesto DAP yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam digantikan dengan sekular.
“Ya. DAP cuma ada empat Menteri. Tetapi dalam kerajaan terdapat empat puluh 40 ahli DAP (Ahli Parlimen). Jika DAP tarik diri, kerajaan Anwar akan jatuh.
“Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP khusus menjadi Tanah Melayu negara berbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular, negara yang tidak ada agama rasmi. Maka tergugurlah keahlian Malaysia dalam OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam),” dakwanya. – UTUSAN