Melihat perang si budak nakal - Utusan Malaysia

Melihat perang si budak nakal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKNA ringkas untuk kata darsana ialah penglihatan atau pemandangan tetapi John Bear (vokal) punya makna yang lebih mendalam. Bagi dia, darsana ialah penglihatan yang berhikmah.

Kata itu tepat dengan fungsinya sebagai tajuk album kedua kugiran reggae/ska, Budak Nakal Hujung Simpang. Mendengar keseluruhan album, saya seperti meneroka dengan mata hikmah perjalanan kugiran itu sepanjang tempoh 2018 hingga 2023.

Dalam tempoh selepas pelancaran album pertama mereka, Bumantara sehingga tahun ini, banyak hal terjadi.

Dari sengsara dan kesunyian pandemik sehingga solidariti seluruh kugiran dan peminat untuk kos pembedahan seorang ahli mereka, juga kontroversi-kontroversi yang melanda kugiran, semangatnya dimuat masuk dalam sebuah album sembilan trek.

Pada lapis makna pertama, Darsana membawa kisah peperangan rekaan yang terbuka untuk pelbagai tafsiran. Lapis-lapis seterusnya, saya lihat ada pergelutan seni dalam industri.

LAGU DAN ILUSTRASI

Kata John, cara terbaik menikmati Darsana adalah dengan memiliki naskhah fizikalnya.

Naskhah fizikal album ini ditemani kerja seni Fahimi yang sebelum ini turut menghasilkan kerja seni untuk album Hujan, Pelangi Dan Kau.

Lirik setiap trek ada ilustrasinya sendiri dan ia mengandungi cerita yang terkandung dalam setiap lagu.

“Sebab itu kena layan album ini dengan (naskhah) fizikal. Selak satu-satu ilustrasi yang ada, ambil satu watak dalam itu, berjalan sama dengan dia dan hang akan dapat seluruh kembara album ini,” kata John.

Jika anda boleh dapatkan semua cenderamata yang dijual bersama album ini juga lebih baik. Mereka ada berikan sembilan keping kad ilustrasi yang mewakili setiap lagu bersama pelekat, buku nota dan beg gantung rekaan eksklusif oleh Vaska.

LEKUK DARI MASA

Album fizikal Darsana telah mula dijual sejak Mac lalu melalui persembahan-persembahan langsung mereka tetapi pada 7 Julai lalu, ia mula tersedia di platform digital.

Proses penghasilan album ini panjang dan bertangguh-tangguh. Ketika mewawancara mereka kira-kira dua tahun lepas, mereka katakan pada saya yang album itu sudah sedia untuk dilancarkan.

Namun, halangan pandemik merencatkan kerja. Dalam tempoh itu banyak hal yang terjadi sebelum ia betul-betul dilancarkan tahun ini.

Ketika wawancara itu juga, mereka ada mencirikan sedikit rupa album ini. Kata mereka ketika itu, akan ada lebih elemen ska berbanding reggae dan ada beberapa elemen Nusantara yang akan dimasukkan.

“Semua benda yang kami rancang itu tak akan berlaku,” kata John. Dan ia betul, apabila melalui pandemik dan bermacam hal lagi dalam masa dua tahun ini, banyak rancangan mereka berubah.

“Kena ingat, kami melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Macam-macam yang jadi sehingga ada yang jadi lebih bijak, ada yang tidak bijak.

“Ada perubahan sehingga bunyi yang hadir selepas itu bersifat matang dan ‘ketika itu’. Apa yang kita nak sampaikan dengan rasa yang lebih tepat pada ketika itu. Tak ada dah nak kena ikut perancangan awal.

“Biarlah bunyi itu memilih takdirnya sendiri,” jelas John lagi.

Dari segi bunyian Nusantara pula, jelas Syed H. Daniel (saksofon), apa yang hadir dalam album ini merupakan elemen-elemen yang tidak begitu mendominasi keseluruhan lagu.

“Dia ada tetapi rembesan (sahaja). Ada sikit-sikit pada lapis-lapis atas.

“Sebab kita letak Nusantara itu sebagai warna sahaja, bukan identiti utama kami,” katanya.

MARAH-MARAH YANG MEREDAM

Ada beberapa hal yang istimewa dengan album Darsana. Saya cuba senaraikan pandangan peribadi saya.

Pertama, bungkusan naskhah fizikalnya cantik, menarik dan banyak makna. Kredit perlu diberikan kepada Fahimi.

Kedua, ada dua trek yang menampilkan pemain instrumen Budak Nakal Hujung Simpang sebagai vokalis utama, iaitu Fiffy D. (keyboard) dalam One Peace One Love dan Amer Firdaus (gitar) dalam Takdir Dan Impian.

Saya berani cakap, kalau mereka berdua masuk rancangan realiti TV nyanyian bersama John, John boleh kalah. Tapi dari segi karakter vokal dan keterampilan, memang John menang jauh.

Ketiga, trek terakhir, Takdir Dan Impian memberikan kepuasan yang ulung. Sebab lagu ini menyimpulkan keseluruhan cerita dalam lapan trek yang lain. Ia melengkapkan album ini sebagai sebuah cerita.

Keempat, beberapa lagu awal, kita nampak marah-marah John dalam penulisan liriknya. Ada ketidakpuasan hati yang membakar-bakar. Tapi menjelang hujung, marahnya semakin meredam.

Lebih menarik, yang memadam terus marah-marah itu bukan lagu yang ditulis John tetapi Fiffy dan Amer. Saya teringat ada fasa yang ahli-ahli Budak Nakal Hujung Simpang ini berkonflik sedikit. Mungkin begitu juga ceritanya dalam realiti, kewujudan anggota lain yang memadam marah-marah John.

Akhir sekali, enam lagu dalam album ini, trek instrumennya dirakam secara langsung. Tidak hairanlah suasananya terasa lebih meriah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya