CYBERJAYA: Para pengamal media disaran untuk melaporkan berita berkaitan tingkah laku bunuh diri secara berhemah, lebih sensitif dan bertanggungjawab bagi mengelak daripada wujudnya ‘kejadian berantai’ terhadap individu berisiko.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pengamal media memainkan peranan amat penting berikutan cara pelaporan mereka boleh memberi kesan positif atau negatif kepada masyarakat.
“Tiada halangan untuk media membuat penulisan berkaitan kejadian bunuh diri, cuma kita tekankan dan memohon ihsan daripada pengamal media untuk menggunakan cara penulisan yang berhemah dan mengikut garis panduan.
“Ia memandangkan kajian yang dijalankan (menunjukkan) penulisan (di media) mewujudkan ‘suicide contagion’ atau idea untuk membunuh diri kepada individu lain yang berisiko untuk berbuat sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program MySave (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) dan Taklimat kepada Pengamal Media Berkaitan Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab berkaitan Bunuh Diri di Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) di sini hari ini.
Menurutnya, pelaporan yang lebih berhemah bukan sahaja dapat membantu mencegah tragedi itu daripada berulang, malah ia mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap individu yang mengalami masalah mental terutamanya mereka yang mempunyai tingkah laku bunuh diri.
Katanya lagi, jika pengamal media melaporkan tentang bunuh diri dengan cara sensasi atau tidak bertanggungjawab, ia boleh membawa kepada pelbagai kesan negatif termasuk peniruan dan normalisasi perbuatan bunuh diri.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini bagi menyeru semua pengamal media mempelajari dan meningkatkan pemahaman tentang pencegahan tingkah laku bunuh diri agar pelaporan dihasilkan turut membantu masyarakat untuk sedar dan tahu mengenai kepentingan kesihatan mental.
“Ini termasukdan pengesanan awal gejala masalah kesihatan mental, sekali gus tampil mendapatkan bantuan awal dan rawatan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan garis panduan pelaporan seperti tidak memaparkan nama dan gambar mangsa, tidak menerangkan secara jelas cara bunuh diri, memasukkan mesej menyeru mereka yang terkesan untuk dapatkan bantuan.
Selain itu ialah penggunaan slogan positif serta menyediakan senarian talian bantuan krisis kesihatan mental.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, sehingga 22 Julai, sejumlah 22,074 panggilan diterima oleh NCEMH menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan (Talian Heal 15555) sejak ia mula beroperasi sembilan bulan lalu.
Jelasnya, sebanyak 14,537 atau 66 peratus klien menerima bantuan sokongan dan emosi, manakala sebanyak 7,537 (34 peratus) diberikan intervensi khusus oleh pegawai psikologi kaunseling.
“Daripada jumlah itu, terdapat sebanyak 193 kes tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri dengan 80 kes diberikan intervensi dan 113 kes cubaan bunuh diri dirujuk ke Jabatan Kecemasan dengan kerjasama MERS999 dan polis,” katanya. – UTUSAN