PETALING JAYA: Dalam usaha untuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa buat pengguna lebuh raya, ruang medan selera di Kawasan Rehat & Rawat Machap (Arah Selatan) di KM74.7 di Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup sementara bermula 26 Julai sehingga 3 Ogos 2023.
Ia bagi kerja-kerja penambahbaikan bumbung di ruang medan selera R&R tersebut.
Walau bagaimanapun, kemudahan lain seperti tandas awam, surau, kawasan meletak kenderaan serta stesen minyak di R&R tersebut masih dibuka dan beroperasi seperti biasa.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang menghala ke Johor Bahru/selatan dinasihatkan supaya menggunakan kawasan rehat di lokasi-lokasi yang lain sebagai alternatif untuk mendapatkan keperluan makanan atau minuman.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan atau mendapatkan maklumat trafik dengan menggunakan Aplikasi PLUS.
Pengguna juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
PLUS mengucapkan terima kasih kepada pengguna lebuh raya atas perhatian dan kerjasama yang diberikan. –UTUSAN