MB Perlis dedah gambar MB tidak dibenar digantung di sekolah - Utusan Malaysia

MB Perlis dedah gambar MB tidak dibenar digantung di sekolah

MOHD. Shukri Ramli ketika ditemui pada program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Perlis bersama solidariti untuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks Pas negeri di Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mohd. Shukri Ramli mendedahkan gambar Menteri Besar tidak dibenar digantung di sekolah-sekolah negeri ini.

Beliau yang terkilan dengan tindakan tidak demokrasi seperti itu berkata, beliau mendapat maklumat berhubung perkara tersebut daripada rakan-rakan guru baru-baru ini dan difahamkan hanya gambar Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri sahaja yang digantung.

Bagaimanapun, beliau tidak menyalahkan pihak jabatan di negeri ini kerana ia sudah tentu arahan di peringkat atasan.

“Tidak demokrasi tindakan seperti ini, sepatutnya semua kena iktiraf. Tidak pernah lagi sebelum ini gambar menteri digantung bersama gambar Perdana Menteri. Selalunya gambar Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Kerajaan perlu melihat perkara ini kerana ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika ditemui pada program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Perlis bersama solidariti untuk
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks Pas negeri di sini, malam tadi.

Terdahulu ketika berucap menyentuh isu berkenaan, Mohd. Shukri yang juga Pengerusi PN negeri berkata, demi menjaga hubungan, beliau sanggup ‘buka pejabat’ pada hari Ahad untuk menerima kunjungan dan melayan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang ingin berjumpa tuan rumah apabila datang ke Perlis sebelum ini.

Namun katanya, apabila dikeluarkan arahan, gambar Menteri Besar tidak boleh digantung di sekolah ia cukup mengecewakan disebalik PKR sering melaungkan reformasi sebelum ini.

Ujarnya, jika tidak ada arahan di peringkat atasan, jabatan-jabatan berkenaan tidak akan bertindak demikian.

“Dahulu mereka berjuang dan sering mengulangi tidak akan melakukan apa yang dilakukan kerajaan UMNO dahulu. Tetapi apabila jadi kerajaan masih melakukan tindakan sama.

“Jika begitu tak payah cakap reformasi jika dapat kuasa tidak buat.

“Bagaimanapun, kita tidak akan ikut apa yang mereka lakukan untuk meminggirkan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di negeri ini. Wakil rakyat PH di negeri ini kita bagi peruntukan.

“Kita tidak akan lakukan perkara tidak baik kepada orang,” kata Pesuruhjaya Pas negeri itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya