KEMAMAN: Penduduk di Taman Desa Solehah, Mak Chili, dekat sini, gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Kuang, berhampiran perumahan tersebut, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu ditemukan oleh pemancing udang yang kebetulan melalui kawasan itu kira-kira pukul 4 petang.
“Pada awalnya mereka yang menaiki bot untuk memancing udang menyangkakan objek yang terapung berhampiran pokok nipah itu adalah kayu, namun bila didekati, objek itu adalah mayat manusia.
“Mereka kemudiannya menghubungi pihak polis untuk melaporkan penemuan tersebut dan setakat ini identiti lelaki itu masih belum disahkan, namun kita percaya dia adalah warga asing berdasarkan pakaian tradisional yang dipakainya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hanyan berkata, mayat lelaki itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Proses pengecaman untuk pengesahan identiti akan dilakukan hari ini,” katanya. – UTUSAN