SHAH ALAM: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan penemuan mayat berbungkus plastik dan terikat dalam bonet sebuah kereta berhampiran Taman Sri Orkid, Seksyen 30 di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, dalam satu kenyataan berkata, mayat tersebut disedari orang awam pada 4 Julai pukul 3.25 petang apabila mengesan bau busuk dari kereta berkenaan.
“Kejadian disedari oleh orang awam yang tercium bau busuk daripada motokar Honda City warna hitam yang sudah dua ke tiga hari berada di tempat tersebut.
“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 47 tahun. Semakan motokar juga didaftarkan atas nama mangsa. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau menambah, siasatan awal polis tidak menolak motif kejadian disebabkan cemburu, bagaimanapun cara mangsa dibunuh tidak dapat berikutan mayat sudah reput.
Susulan itu, bertindak atas maklumat, polis menahan reman empat warga asing sehingga 10 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya terus kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025. – UTUSAN