Mayat mangsa kesembilan masih tidak dapat disahkan identiti - Utusan Malaysia

Mayat mangsa kesembilan masih tidak dapat disahkan identiti

MUHAMMAD FIKRI SALIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN :  Polis tidak menolak kemungkinan mayat kesembilan dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini yang ditemukan kira-kira pukul 9.20 pagi tadi merupakan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat tersebut mungkin Muhamamad Fikri berdasarkan seluar dan tali pinggang yang berada pada badan mangsa ketika ditemukan.

Bagaimanapun, katanya, mayat mangsa akan disahkan identiti selepas keputusan pemeriksaan cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh. 

“Proses bedah siasat sedang dilakukan dan kita jangkakan keputusan pengesahan identiti akan dikeluarkan selepas keputusan DNA dan cap jari dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini, petang ini. 

Beliau memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, dekat sini, tengah hari tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat.

Lapan mangsa telah ditemukan sejak Ahad iaitu  Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa.

Setakat ini, dua lagi mangsa masih belum ditemui iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14 dan Muhammad Fikri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya