KEMAMAN: Mayat mangsa kesembilan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, dipercayai Muhammad Fikri Saliman, 24, berjaya ditemukan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di sini, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mayat tersebut ditemukan pada jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi.
Bagaimanapun setakat ini, menurutnya, pihaknya belum dapat mengesahkan identiti sebenar mayat yang ditemukan itu.
“Mayat mangsa dipercayai lelaki itu ditemukan terdampar di beting pasir oleh anggora keselamatan yang menyertai operasi SAR hari ini.
“Selepas dua jam, usaha membawa keluar mayat mangsa berjaya dilakukan,” katanya ditemui pemberita Pusat Kawalan Operasi di Balai Air Putih, hari ini.
Hanyan berkata, mayat mangsa tersebut akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses pengecaman dan bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang, Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.
Lapan mangsa yang telah ditemukan sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa.
Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemukan ialah Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri. – UTUSAN