KEMAMAN: Selepas 17 jam abang mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, di sini, Shahrizal Saliman melaungkan azan di lokasi pencarian, akhirnya mayat adiknya, Muhammad Fikri, berjaya ditemukan.
Mayat Muhammad Fikri, 24, ditemukan terdampar di beting pasir kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pukul 9.20 pagi tadi.
Shahrizal, 40, ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur penantiannya selama enam hari berakhir, hari ini.
“Alhamdulillah, selepas beberapa hari saya tunggu, akhirnya adik saya (Muhammad Fikri) pulang (ditemukan). Sejak dari awal saya memang yakin adik saya ditemukan.
“Walaupun dia ditemukan mati dan saya hanya dapat lihat sekujur jasadnya, namun saya bersyukur, sekurang-kurangnya dia dijumpai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Shahrizal berkata, jenazah adik bongsunya akan dibawa pulang ke Batu Pahat, Johor untuk dikebumikan berhampiran kubur arwah ibunya, Zaiton Rashib di Tanah Perkuburan Kampung Parit Kuda selepas selesai urusan bedah siasat.
Shahrizal yang merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik berkata, tragedi malang yang menimpa adiknya benar-benar memberi kesan kepada ahli keluarganya apabila mereka pernah kehilangan dua ahli keluarganya dalam tragedi lemas pada 2006.
“Selepas bapa kami, Saliman Jonit, meninggal dunia akibat kanser pada 2005, saya kehilangan kakak, iaitu Linda Azura dan anaknya yang berusia dua tahun lemas di tali air berhampiran rumah kami.
“Bila terjadi insiden ini, memang kami teringat peristiwa lalu, namun kami kuat berdepan dengan ujian ini,” katanya yang redha dengan pemergian adiknya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan Muhammad Fikri, bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.
Setakat hari keenam operasi, sembilan mangsa telah ditemukan termasuk Muhammad Fikri.
Lapan mangsa lain yang ditemukan sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman,18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah,16, ditemukan pada Selasa.
Seorang lagi yang masih belum ditemukan ialah Putri Nur Fatin Karim, 14. – UTUSAN