Maskot TMP: Kentoi atau harumanis ? - Utusan Malaysia

Maskot TMP: Kentoi atau harumanis ?

BERUK kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides yang hanya ditemukan di negeri ini wajar dipertimbangkan menjadi maskot Tahun Melawat Perlis 2024-2025. - UTUSAN/SYAMIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri dijangka memutuskan pemilihan maskot bersempena Tahun Melawat Perlis (TMP) 2024/2025 pada bulan hadapan.

Buat masa ini, terdapat dua cadangan maskot yang diketengahkan untuk penilaian pihak kerajaan negeri terdiri daripada beruk kentoi dan mempelam harumanis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) juga sedang dalam proses bagi menyediakan kertas kerja berhubung pemilihan itu dan kemudiannya akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diputuskan.

“Kita ada beberapa cadangan daripada BPEN untuk pemilihan maskot itu dan ia akan diputuskan menjelang Ogos selepas bawa ke mesyuarat MMKN,” katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan beruk kentoi atau nama saintifiknya macaca arctoides yang hanya ditemukan di negeri ini wajar disaran menjadi maskot Tahun Melawat Perlis 2024/2025.

Penyelidik beruk kentoi yang juga pengasas Perlis Nature & Wildlife, Syamil Abd. Rahman dilaporkan berkata, Perlis yang sememangnya menjadikan keindahan alam serta kekayaan biodiversitinya sebagai produk pelancongan dan pemilihan beruk kentoi sebagai maskot dilihat bertepatan dengan kempen promosi Tahun Melawat Perlis.

Mengulas mengenai persediaan TMP 2024/2025, Wan Badariah berkata, Perlis juga akan membawa keunikan menerusi penganjuran julung kali ini apabila bakal mempromosikan sektor pelancongan agama buat pengunjung luar.

Katanya, menerusi sektor pelancongan agama, kerajaan negeri akan memberi fokus buat pengunjung yang ingin menambah ilmu pengetahuan mereka antaranya seperti penganjuran program Perkampungan Sunnah sebelum ini.

“Kehadiran pengunjung luar juga semakin meningkat bagi menyertai program tersebut sehinggakan banyak penginapan di sini penuh.

“Mungkin selepas ini kerajaan negeri akan tambah lagi beberapa program seperti Perkampungan Sunnah itu yang berpotensi menjadi produk pelancongan di Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, Perlis sememangnya mempunyai banyak cabang bagi sektor pelancongan meliputi eko pelancongan, agro pelancongan, alam semula jadi, membeli belah dan pelbagai lagi untuk diketengahkan buat pengunjung luar.

Katanya, terdapat lebih 100 destinasi pelancongan yang berpotensi di negeri ini untuk menarik kehadiran pengunjung menjelang TMP 2024/2025.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri lebih fokus untuk memperkenalkan dan menaik taraf infrastruktur di lokasi-lokasi pelancongan agar dapat memberi kemudahan buat pengunjung,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya