KUALA TERENGGANU: Pengurusan masjid dan surau di Terengganu perlu memastikan premis itu bebas daripada sebarang pemasangan poster, jadual ceramah politik atau sebaran aktiviti kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, selain itu semua parti politik juga tidak digalakkan membina atau mewujudkan markas mereka berdekatan masjid dan surau.
Menurutnya, pagar masjid dan surau juga tidak boleh dijadikan tempat menggantung poster, iklan, jadual dan aktiviti parti atau calon yang bertanding.
“Selain itu, Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin) juga telah bertitah kepada mana-mana penceramah yang mempunyai tauliah agar jangan menyelitkan sebarang unsur politik ketika sedang mengajar.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu untuk disebarluaskan kepada semua ahli jawatankuasa masjid dan surau bagi tujuan pemantauan.
“Kita juga akan terima aduan dari jemaah jika berlaku pelanggaran contohnya video untuk memudahkan siasatan dan tindakan diambil kepada penceramah atau jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan zakat perniagaan dan sumbangan lembu oleh McDonald’s Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.
Ketika ini, terdapat 510 masjid dan lebih 2,000 surau di seluruh Terengganu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, larangan tersebut akan dikuatkuasakan di bawah Seksyen 103 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu iaitu kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.
Katanya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Baru-baru ini, Maidam telah mengeluarkan pekeliling untuk melarang semua ahli dan aktivis politik menjadi khatib dan imam solat Jumaat sepanjang tempoh berkempen PRN itu.
Selain itu, ahli dan aktiviti politik terlibat juga dilarang menyampaikan apa-apa kuliah atau ceramah agama sepanjang tempoh kempen di semua masjid dan surau di Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRN diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai merupakan hari penamaan calon dan hari pengundian awal pula adalah pada 8 Ogos depan.
PRN di enam negeri membabitkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. – UTUSAN