KOTA KINABALU: Lima teras Rukun Negara sudah cukup baik untuk digunakan bagi mempromosikan perpaduan kaum di Malaysia.
Maka, tiada keperluan untuk menilai semua teras dalam Rukun Negara sebaliknya, ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar usaha mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum mampu dicapai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Intergrasi Nasional), Tan Sri Joseph Kurup berkata, lima teras Rukun Negara itu telah digunakan sebagai asas mempromosi perpaduan kaum di negara ini.
“Semasa saya menjadi menteri bertanggungjawab dalam aspek perpaduan, kita banyak menguna pakai teras Rukun Negara dalam progam yang dianjurkan dan ia memberi impak yang baik dalam usaha mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.
“Lima teras ini sudah cukup untuk menjadi asas bagi mencapai perpaduan. Itu pendekatan yang saya gunakan semasa menjadi menteri bagi mendekati masyarakat daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Kita menghormati perbezaan antara satu sama lain,” katanya.
Malah, kerajaan boleh menggunakan persatuan rukun tetangga bagi membantu menyebar luas usaha memperkukuh perpaduan kaum kerana mereka berada dekat dengan masyarakat.
Ia selaras dengan titah Yang diPertuan Agong yang mahu rukun tetangga digunakan sebagai asas untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.
Pengerusi Kehormat Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, pemimpin-pemimpin politik hari ini perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak menggangu usaha kerajaan memperkukuh perpaduan.
“Walaupun Perdana Menteri cukup serius mempromosi kerajaan perpaduan namun, ada pihak cuba merosakkan usaha itu dengan menyatakan bahawa Malaysia hanya untuk satu kaum.
“Pemimpin sebegini perlu berhadapan realiti bahawa Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama jadi amat penting untuk menghormati perbezaan tersebut.
“Pemimpin politik seharusnya cuba menyatukan rakyat berbilang kaum dan bukannya menimbulkan isu yang mampu menggugat perpaduan negara dengan kenyataan Malaysia hanya untuk satu kaum.
“Ia satu tindakan yang tidak baik dan mampu memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. –UTUSAN