PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim perlu menjawab kepada rakyat mengenai pendiriannya terhadap skandal rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin utama kerajaan pada hari ini.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik tindakan Adam Adli yang terus mengunci mulut daripada bersuara menentang rasuah sepertimana keadaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Adam Adli ada mengatakan jangan jawab soalan dengan soalan. Saya sudah jawab soalan dia dan sekarang saya ingin mengajukan soalan sama kepada dia. Mana Adam Adli yang anak muda kenal yang berani sampai ke jalan raya untuk tentang rasuah?
“Kini apabila mereka yang menduduki takhta kuasa, kes-kes yang berskala besar ditangguhkan, mana suara Adam Adli? Apabila reformasi undang-undang lapuk tidak kira daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ke undang-undang lain, mana suaranya?
“Apabila ia berkenaan isu untuk kita mempertahan institusi kehakiman negara yang melangkaui politik bila diserang bertubi-tubi oleh pimpinan utama kerajaan, mana suara untuk membela institusi kehakiman?” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Syed Saddiq berkata, Adam Adli adalah anak muda yang turun ke jalan raya menentang sikap kerajaan pada masa itu yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap isu kapal tempur pesisir (LCS).
“Apabila skandal rasuah LCS yang menyebabkan mereka pergi ke jalan raya, mereka katakan isu utama pilihan raya lepas, jumlah berbillion ringgit ‘disonglap’ dan mereka juga katakan kalau mereka menang, ‘kita humban pemimpin ini ke penjara’.”
“Saya, Syed Saddiq tidak pernah berkata jika menang kita humban mereka ke penjara tetapi saya pernah kata kita ikut Rule of Law. Mana suara kamu sekarang? Saya sudah jawab dan kini rakyat ingin tahu apa pendirian kamu,” katanya.
Terdahulu, Adam Adli meminta Syed Saddiq menjawab dahulu soalannya berhubung sama ada partinya mahu berada dalam blok kerajaan atau pembangkang.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu sepatutnya berbuat demikian sebelum mempersoal tentang janji-janji reformasi yang dilaungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa kempen PRU15. – UTUSAN