Malaysia terlepas peluang jika KXP tidak diluluskan

Malaysia terlepas peluang jika KXP tidak diluluskan

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor bersama Rafizi Ramli ketika menghadiri program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 Negeri Kedah di Royal Kedah Club, Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Malaysia akan terlepas peluang untuk memiliki pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) terbesar di Asia Pasifik sekiranya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak direalisasikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembangunan pusat penyedia perkhidmatan MRO yang hampir sama kini dirancang untuk dibina di Kuala Namu Sumatera, Indonesia.

“Jika kita tidak merebut peluang ini dalam kalangan pemain industri kargo antarabangsa, jika ia tidak berlaku di Malaysia pada tahun-tahun ke depan ini, (maka) ia sedang bergerak ke Sumatera.

“Opsyen yang hampir sama dengan Kedah adalah Kuala Namu di Sumatera, kalau tak direbut (untuk) dibawa ke Kedah saya yakin satu pusat kargo terbesar di rantau Asia Pasifik akan berada di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Negeri Kedah yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini, hari ini.

Terdahulu pada program berkenaan, Muhammad Sanusi sekali lagi mengambil kesempatan menjelaskan tentang kepentingan KXP kepada penduduk Kedah khususnya.

“Kerajaan negeri turut berharap agar pembangunan Kedah Aerotropolis diberi perhatian secara keseluruhannya termasuk cadangan pembangunan KXP yang merupakan komponen utama bagi pembangunan tersebut.

“KXP adalah dirancang sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai sebuah lapangan terbang kargo dan bukan lapangan terbang berasaskan penumpang. Saya sudah menjelaskan ini sudah 100 kali,” katanya.

Beliau turut menjelaskan tanggapan bahawa pembangunan KXP akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) adalah tidak berasas. 

“KXP bukan sahaja tidak akan menjadi saingan malah menjadi pelengkap kepada kewujudan LTAPP. Pembangunan lapangan terbang KXP amat signifikan lagi diperlukan dalam konteks pembangunan ekonomi negara kita khususnya di Wilayah Utara.

“Rakan-rakan pelabur antarabangsa yang menyatakan komitmen untuk terlibat aktif di KXP menaruh keyakinan yang tinggi bahawa KXP berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan,” katanya.

Oleh itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tetap berharap untuk diberi peluang menjelaskan secara terperinci akan kepentingan projek itu kepada rakyat dan negara secara langsung di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya