PETALING JAYA: Peningkatan trend makanan viral adalah antara penyebab utama golongan belia semakin ramai diabetes kerana gemar memakan makanan tersebut terutama berkaitan pencuci mulut.
Ia membimbangkan terutama selepas pendedahan Utusan Malaysia bahawa dianggarkan kira-kira tujuh juta rakyat negara ini yang berusia 18 tahun ke atas berisiko menghidap diabetes menjelang 2025.
Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, di Malaysia terdapat tabiat pemakanan yang kurang sihat hingga menyumbang kepada penyakit tersebut.
Menurut beliau, makanan-makanan viral amat digemari golongan remaja kerana ia mempunyai sifat yang menarik seperti bungkusan, warna dan harga ditawarkan juga murah.
“Antara makanan dalam trend tersebut adalah bubble tea, wafel aiskrim dan banyak lagi yang mempunyai banyak gula. Ini menyebabkan tabiat tersebut menjadi sesuatu yang buruk terhadap kesihatan mereka.
“Penyumbang lain juga apabila golongan remaja didapati kurang bersenam terutama selepas pandemik Covid-19. Ada kajian mengatakan hanya satu daripada empat remaja yang melakukan senaman.
“Ini menyebabkan kita mudah menjadi obesiti, ia akan memudahkan untuk seseorang itu mendapat penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang rosak dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, jangkaan tujuh juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas berisiko menghidap diabetes menjelang 2025 akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung sebanyak RM5 bilion setahun untuk kos perubatan.
Menurut laporan Perpustakaan Perubatan Amerika Syarikat (NCBI) berjudul Prevalence of type-2 diabetes and prediabetes in Malaysia: A systematic review and meta-analysis, Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di rantau Pasifik Barat dan antara yang tertinggi di dunia.
Dr. Sharifa Ezat berkata, persepsi terhadap penyakit tersebut juga menyebabkan orang muda mudah mempunyai diabetes kerana kebanyakan beranggapan ia merupakan sejenis penyakit ‘tua’.
“Kencing manis pada waktu muda ni tidak ada gejala, mereka tak tahu mereka ada dan apabila tahu sudah berada di tahap yang teruk iaitu buah pinggang mereka sudah rosak dan mempunyai masalah jantung.
“Kita dapati ramai rasa tak perlu buat saringan kesihatan kerana mereka anggap diabetes adalah penyakit orang tua, golongan muda pula tidak ada gejala. Jadi mereka rasa tak perlu buat saringan.
“Jadi kerajaan boleh mengesyorkan rakyat membuat saringan kesihatan pada usia muda, jangan tunggu apabila tiba umur 50-an, program-program kesihatan pun kena lebih ditekankan,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan juga boleh menyediakan insentif seperti mana diamalkan oleh negara-negara luar bagi menggalakkan rakyat mereka melakukan saringan kesihatan.
“Masyarakat di negara luar mereka dapat insentif apabila melakukan saringan kesihatan, mereka dapat pelepasan daripada kerja dan sebagainya. Di Malaysia pula tidak ada perkara tersebut, sepatutnya buat di semua peringkat dari sekolah, universiti hingga tempat kerja,” katanya.
“Penyakit kencing manis ini juga sekarang adalah penyakit orang miskin, orang kaya boleh pantau diri mereka dengan membuat saringan kesihatan, boleh daftar gim, ada akses pada hospital swasta serta mempunyai insurans. Apabila sakit mereka dibayar.
“Golongan miskin pula sibuk mencari duit untuk menanggung kos kehidupan. Kita tidak boleh salahkan mereka kerana ini adalah realitinya,” jelasnya.
Beliau menggalakkan orang ramai menambah pengetahuan tentang kesihatan bagi membolehkan mereka menjaga diri.- UTUSAN