PUTRAJAYA: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti dibenarkan menjana pendapatan sendiri menerusi program keusahawanan membabitkan jualan pek simkad telefon dan perniagaan mesin layan diri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu berjaya direalisasikan menerusi kerjasama dan memorandum persefahaman (MoU) antara beberapa syarikat, hari ini
Beliau berkata, program keusahawanan itu akan dimulakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum diperluaskan ke universiti awam dan swasta lain.
“Setiap MPP di peringkat universiti akan dilantik sebagai ejen jualan dan mereka akan mendapat pulangan antara dua hingga tiga peratus bagi setiap simkad yang dijual.
“Dengan ini, pelajar bukan sahaja dapat menikmati simkad serendah RM35, sebaliknya MPP juga mendapat manfaat berbentuk komisen bagi setiap jualannya.
“MPP juga diberi peluang mengendalikan mesin layan diri yang disediakan syarikat dan mereka juga akan diberi pulangan bagi menguruskan mesin itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis MoU dengan beberapa syarikat hari ini.
MoU itu membabitkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan XoX Berhad dan VMR Three Sdn Bhd bagi program keusahawanan MySiswa selain MoU dengan Wawasan Jaya Elite Sdn Bhd bagi program kebolehpasaran graduan.
Katanya, kerjasama ini sekali gus mendedahkan pelajar dengan dunia keusahawanan selain menjana pendapatan yang kemudiannya dapat digunakan untuk program dan aktiviti di peringkat universiti.
Mohamed Khaled berkata, program ini akan diperluaskan dari semasa ke sama menerusi kerjasama dengan lebih banyak syarikat sekali gus meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran graduan.
“MoU pada hari ini yang melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) merangkumi universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
“Program Keusahawanan MySiswa yang akan dilaksanakan dengan kerjasama XoX Berhad dan VMR Three Sdn Bhd bakal menawarkan manfaat keperluan mahasiswa serta meningkatkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan berkaitan telekomunikasi dan digital.
“Kerjasama dengan Wawasan Jaya Elite pula akan menerokai program berkaitan pemadanan kerja graduan yang bersesuaian dengan kelayakan, penyediaan syarikat untuk latihan industri dengan elaun bersesuaian serta menggalakkan jaminan pekerjaan kepada graduan yang sedang menjalani latihan industri,” katanya. – UTUSAN