Maidam larang program berunsur politik di masjid, surau - Utusan Malaysia

Maidam larang program berunsur politik di masjid, surau

MASJID dan surau di Terengganu dilarang mengadakan sebarang program berunsur politik berkuat kuasa serta-merta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melarang sebarang program berunsur politik di semua masjid dan surau di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, semua ahli politik termasuk golongan aktivitis juga dilarang menjadi Khatib dan Imam solat Jumaat sepanjang tempoh berkempen tidak lama lagi.

Menurutnya, larangan itu dikuatkuasakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.

“Semua ahli politik dan aktivis juga dilarang menyampaikan apa-apa kuliah atau ceramah agama sepanjang tempoh kempen di semua masjid dan surau negeri ini.

“Selain itu, sebarang program atau aktiviti kempen oleh mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga adalah dilarang sama sekali,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan 29 Julai merupakan hari penamaan calon manakala hari pengundian awal adalah pada 8 Ogos depan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, larangan itu berkuatkuasa sepanjang kempen pilihanraya berlangsung bagi menjaga keharmonian dan kemuliaan masjid dan surau serta menjaga perpaduan di kalangan masyarakat.

“Institusi masjid dan surau tidak boleh dijadikan tempat kegiatan politik kepartian yang boleh memecah-belahkan perpaduan.

“Mana-mana agensi kerajaan yang berhasrat menganjurkan sebarang program sama ada kuliah atau ceramah di masjid dan surau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Maidam.

“Kelas pengajian agama yang telah sedia ada oleh pengkuliah tetap boleh diteruskan tetapi tidak dibenarkan menyentuh apa-apa perkara yang berbaur kempen kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua Ahli Jawatankuasa masjid dan surau serta imam dan bilal mematuhi arahan tersebut.

PRN di enam negeri membabitkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya