KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi tidak pernah menyekat mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam politik termasuk kempen pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian telah memberi kebebasan yang penuh untuk mahasiswa berpolitik secara sihat sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda dulu.
Menurutnya, mahasiswa terlibat diberi kebebasan itu namun tidak boleh membawa masuk politik kepartian di dalam kampus.
“Kita bukan ‘policeman’ nak pantau pelajar (berpolitik), memang kita tak ada nak mengongkong, tapi jangan bawa masuk politik kepartian ke dalam kampus.
“Selain kempen, pelajar diberi kebebasan berpolitik, nak bertanding pun boleh tapi itu hari (penamaan calon), tak ada pula yang nak bertanding,.tapi kita memang tak ada sekatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.
Mohamed Khaled menambah, kementerian juga tidak ada membuat sekatan kepada mahasiswa dalam membuat pilihan bergiat aktif dalam parti politik tertentu pada PRN ini.
“Tak kisah nak aktif (dalam mana-mana parti politik pun), ada juga yang menentang saya dan tiada tindakan diambil terhadap pelajar tersebut,” katanya.
Enam negeri yang terlibat dalam PRN 12 Ogos depan ialah Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. – UTUSAN