BUTTERWORTH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees mendakwa senarai calon DAP untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos ini ditentukan oleh hanya seorang ‘maharaja’.
Satees yang digugurkan DAP daripada mempertahankan kerusi itu mendakwa lagi, ‘individu’ terbabit menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan sendiri.
“Sehingga kini, pencapaian Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP amat membanggakan, namun itu bukanlah alasan untuk kita benarkan diktator itu untuk bermaharajalela di negeri ini.
“Walaupun mereka maklumkan senarai calon yang dimuktamadkan adalah keputusan lima pimpinan tertinggi ataupun Jawatan Kerja Pusat (CEC), namun saya rasakan ia dibuat berdasarkan keputusan dan keperluan ‘seseorang’ itu sahaja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bagan, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan siapa individu yang didakwa ‘maharaja’ dan bertindak seperti diktator dalam menentukan calon DAP pada PRN berkenaan.
Mengulas lanjut, Satees berkata, beliau akur apabila namanya tidak tersenarai sebagai calon, namun terkilan kerana alasan yang diberikan tidak senada dengan tindakan parti.
Tambahnya, lebih menghairankan apabila enam daripada tujuh ADUN yang pernah menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut digugurkan daripada senarai calon.
“Mereka kata proses peremajaan perlu dibuat, kena pilih orang muda (young blood) sedangkan saya baru berusia 38 tahun dan tempoh perkhidmatan pun baru sepenggal.
“Yang peliknya, individu yang dicalonkan untuk menggantikan tempat saya berusia 45 tahun dan ada juga yang sudah berkhidmat lebih tiga penggal tapi masih dicalonkan.
“Saya terima keputusan mereka tetapi saya tidak akan berdiam diri dan akan terus bersuara kerana ini memang cara saya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.
“Saya tidak akan bekerjasama dengan PN kerana ideologi dan perjuangan kami tidak sama, malah tidak akan bersekongkol dengan mana-mana individu yang memiliki pandangan berbeza termasuklah ‘maharaja’ sendiri,” katanya.
Dalam pengumuman calon DAP bagi PRN Pulau Pinang oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semalam, tujuh penyandang termasuk lima Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang digugurkan yang disifatkan sebagai satu proses pembaharuan bagi memastikan parti itu kekal dinamik dan relevan dalam politik.
Antara tujuh penyandang digugurkan ialah Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy di kerusi DUN Perai; Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong) selain Lee Chun Kit (Pulau Tikus). – UTUSAN