Lua Mek pembaca tegar Utusan Malaysia, fasih berbahasa Melayu

Lua Mek pembaca tegar Utusan Malaysia, fasih berbahasa Melayu

LUA Mek menunjukkan akhbar Utusan Malaysia yang dibelinya di bandar Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang penduduk masyarakat Tionghoa di sebuah taman perumahan di bandar ini, Lua Mek, 67, adalah antara pembaca tegar akhbar Utusan Malaysia sejak usia remaja yang membantunya memantapkan penguasaan tatabahasa sekali gus memperkasa penggunaan bahasa Melayu.

Wanita itu yang lebih dikenali sebagai Puan Lee berkata, menjadi amalannya mengatur langkah setiap pagi sejauh dua kilometer menuju ke kedai surat khabar bagi memastikan memperoleh nashkah Utusan Malaysia sebelum habis dibeli.

“Sejak berwajah baharu, akhbar Utusan Malaysia kerap habis dibeli oleh pembaca di bandar ini. Jika saya lewat menapak ke kedai surat khabar, bermakna akan ketinggalan sajian pelbagai berita di dada akhbar ini.

“Saya berasa tidak puas dan lengkap jika tidak menatap akhbar Utusan Malaysia dalam sehari. Sebab itulah saya keluar melakukan morning walk supaya tiba awal ke kedai surat khabar sebelum singgah di pasar berbelanja ikan dan sayur untuk masakan tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, dia meminati akhbar Utusan Malaysia sejak usia muda kerana sajian berita dipaparkan akhbar ini cukup menarik berkisar soal dalam negara dan luar negeri di tambah dengan rencana dalam kalangan penulis yang mempunyai pelbagai latar belakang akademik.

“Sekembali dari membeli Utusan Malaysia dan berbelanja di pasar, saya duduk menatap helaian akhbar ini sehingga lebih sejam untuk membaca berita utama dan kisah hidup harian yang dipaparkan.

“Saya menyambung kembali membaca selepas makan tengah hari mana-mana berita yang belum ditatap dan boleh dikatakan semua bahan dalam akhbar ini habis dibaca sebelum tidur malam,” katanya.

Menurutnya, setelah berkahwin, mendiang suaminya turut melanggan akhbar Utusan Malaysia untuk bacaannya dan senaskhah akhbar berbahasa Inggeris yang mana dia adalah seorang guru mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di bandar ini.

“Apabila anak mula memasuki sekolah rendah dan menyambung sekolah menengah, akhbar Utusan Malaysia menjadi pilihan bacaan untuk memantapkan penguasaan tatabahasa sekali gus memperkasakan bahasa Melayu. Atas galakan saya dan suami, kami berbual dalam bahasa Melayu ketika di rumah.

“Tidak hairanlah tiga anak saya yang berusia antara 35 hingga 45 tahun masing-masing sudah bekerja sebagai guru dan akauntan memperoleh A1 dalam mata pelajaran bahasa Melayu peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil bersungguh-sungguh menelaah Utusan Malaysia sebagai bahan bacaan,” katanya.

Dia yang berasal dari Selinsing, Pasir Putih, Kelantan mencadangkan Utusan Malaysia menambah semula ruangan Pendidikan khusus untuk pelajar sekolah menengah kerana ia boleh membantu pengukuhan tatabahasa bahasa Melayu terutama dalam kalangan pelajar bukan Melayu.

Katanya, walaupun ada perbezaan persembahan corak berita antara penerbitan Utusan Malaysia sebelum 2018 dan kini, nyata laporannya masih tetap sama, mantap serta bahasa Melayu kekal mudah difahami oleh semua kaum di negara ini.

Tambahnya, dia menolak skeptikal sesetengah pihak yang enggan mempelajari bahasa Melayu serta meraguinya sebagai ‘lingua franca’ di nusantara dan bahasa kebangsaan sejak akhir-akhir ini.

“Mereka sepatutnya meneladani orang tua dalam kalangan kaum Tionghoa sebelum ini yang boleh membaca rumi dan juga tulisan Jawi,” ujarnya.

Ujarnya, walaupun sudah hampir 60 tahun membaca Utusan Malaysia dan Utusan Melayu sebelum ini, dia menegaskan akhbar itu tidak langsung mengikis budaya Tionghoa yang masih diamalkan dalam kehidupan hariannya serta pertuturan Hokkien sebagai perantara sesama rakannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya