LRT3 mula beroperasi 1 Mac 2025 - Utusan Malaysia

LRT3 mula beroperasi 1 Mac 2025

LRT3
ANTHONY Loke bersama pengurusan Prasarana Berhad menyaksikan tren tiga koc LRT3 yang sedang diuji ketika melawat depohnya dekat Johan Setia di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi jajaran Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang yang menelan belanja sehingga RM16 bilion dijangka mula beroperasi pada 1 Mac 2025.

Pembinaan pengangkutan awam yang menghubungkan kawasan Pantai Barat Lembah Klang itu kini dilaporkan siap 86 peratus, namun jangkaan mula operasinya lewat setahun berbanding tarikh asal 28 Februari 2024.

Bagaimanapun, kemudahan itu diunjur dapat dimanfaatkan lebih 2 juta penduduk di sepanjang jajaran dengan 20 stesen dan berkemampuan membawa sehingga 18,630 orang penumpang bagi setiap jam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun projek LRT3 sedang rancak dilaksanakan dan kesemua 22 set 3 koc tren sedang diuji termasuk kerja-kerja berkenaan dengan sistem isyaratnya.

“Saya bukan sahaja melawat depoh dan operation control center (OCC), tetapi membuat pandu uji di laluan percubaan menggunakan tren yang dihantar ke depoh. Kita ada 22 set tren tiga koc, memang dalam tempoh ini sedang dilaksanakan ujian. 

“Kita menjangkakan LRT3 bakal memberikan kemudahan kepada lebih 2 juta penduduk di sekitar Pantai Barat Lembah Klang terutamanya dari Petaling Jaya ke Klang. Kawasan yang padat dengan penduduk dan pembangunan,” katanya ketika pada pemberita selepas melawat dan menguji sebuah tren di Depoh LRT3 Johan Setia, hari ini.

Terdahulu, pembinaan LRT3 dilapor menelan belanja sehingga RM31.65 bilion namun dikurangkan sebanyak RM15 bilion selepas projek berkenaan melalui penilaian semula yang melibatkan pembatalan enam stesen provisional termasuk laluan terowong di Persiaran Hishamuddin dan stesennya.

Stesen yang terlibat seperti Lien Hoe, Temasya, Persiaran Hishamuddin, Sirim, Bukit Raja dan Bandar Botanic apabila diunjurkan menerima unjuran jumlah pengguna sekitar 1,500 orang sehari.

Dalam pada itu, Anthony Loke, kewujudan LRT3 bakal mewujudkan jaringan pengangkutan yang menghubungkan pelbagai laluan termasuk Aliran Transit Massa (MRT) dan LRT Laluan Kelana Jaya di dua buah stesen iaitu Bandar Utama dan Glenmarie.

“Ini adalah tambahan kepada pengangkutan awam di Lembah Klang dan juga merupakan satu sistem LRT yang penting untuk kita memastikan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan awam di Lembah Klang.

“Tren tak sama, memang baharu, apa pun kita mengharapkan ini memberikan kemudahan. Tadi pun kita tengok tren cukup selesa dengan green technology supaya lebih mesra alam.

“Jadi saya diberikan taklimat, tren itu sudah pun bersedia dan memang semua tren sekarang pun sedang diuji supaya ia dapat beroperasi dengan baik apabila laluan itu dibuka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya