KUALA TERENGGANU: Syarikat Air Terengganu (Satu) Sdn. Bhd. berjaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di tiga daerah setelah Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit di sini yang berkapasiti penuh 120 juta liter sehari (JLH) mula beroperasi sejak akhir tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut berkata, pembinaan LRA Bukit Berapit itu telah dimulakan pada 31 Julai 2017 bertujuan untuk memenuhi keperluan bekalan air terawat di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan sebahagian keperluan pengguna dia daerah Setiu.
Menurutnya, dari sudut kepenggunaan semasa, LRA tersebut memenuhi keperluan air terawat untuk 160,000 pengguna semasa dan berupaya memenuhi keperluan sehingga 480,000 pengguna pada masa akan datang.
“Pembinaannya adalah sebahagian daripada komponen utama projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU) dengan nilai perbelanjaan keseluruhan projek KTU sebanyak RM1.3 bilion.
“Komponen utama pembinaan LRA Bukit Berapit ini turut merangkumi pembinaan muka sauk berkapisiti 140 JLH di Pulau Bahagia dan pembinaan 11 kilometer paip air mentah dari Pulau Bahagia ke LRA Bukit Berapit.
“Ia turut dilengkapi dengan pusat kawalan telemetri yang dipantau secara ‘real time’ membolehkan pengoperasian LRA dikawal selia secara effisyen dan bersepadu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, LRA Bukit Berapit juga akan menjadi satu penyelesaian kepada gangguan penerombosan air masin di Sungai Terengganu yang sering membelenggu penduduk sebelum ini.
“Penerombosan air masin di muka sauk Pulau Musang telah menjejaskan operasi LRA Losong, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan air terawat kepada sebahagian besar pengguna di Kuala Terengganu.
“Ia berlaku berikutan kombinasi musim kemarau dan air pasang besar pada masa yang sama, contohnya pada Februari tahun 2022 mengakibatkan kualiti air ke 24 kawasan di Kuala Terengganu telah terjejas kerana rasanya berubah menjadi payau.
“Dengan pengoperasian LRA Bukit Berapit, Satu boleh mengagihkan air terawat dari LRA ini terus ke LRA Losong dan seterusnya diagihkan ke kolam-kolam imbangan Kuala Terengganu untuk memastikan keperluan pengguna tidak terjejas walaupun muka sauk LRA Losong dihenti tugas akibat penerombosan air masin,” katanya. – UTUSAN