SAYA bertemu Nik Khusairie pertama kali di Ara Damansara, di meja luar sebuah kafe. Kami bertemu pertama kali tapi bualnya macam dah lama kenal.
Di kafe sama juga – Bijou Cafe, saya hadir parti pelancaran low-key sessions pada Jun lalu. Partinya jinak saja, tak ada aktiviti liar.
Ada persembahan akustik oleh beberapa artis, selebihnya diisi borak-borak bersama kawan-kawan lapangan. Bijou memang ada potensi menjadi tempat lepak anak-anak scene.
Tapi lebih awal lagi, sekitar awal tahun lepas, saya sudah dengar tentang low-key sessions. Ada beberapa kugiran yang saya kenal dijemput. Tapi sekian lama, tidak ada berita selepas rakaman. Kami sangka ia dibatalkan.
Selepas menonton enam episod low-key sessions, saya tepuk mulut sebab celupar sangat fikir yang buruk-buruk tentangnya dulu. Saya bersyukur ia tidak dibatalkan.
low-key sessions bukan siri rakaman persembahan langsung yang kita mahu tetapi yang kita perlu.
20 JUMAAT YANG HANGAT
Untuk musim pertama, siri terbitan RAI Arts Initiative ini akan menampilkan 20 artis yang menyampaikan tiga buah lagu setiap satu. Bermula 16 Jun lalu, mereka memuat naik satu episod setiap Jumaat.
Setakat ini sudah ada episod kugiran post-rock, On A Trip; indie rock, Advents; pop jazz, Fazz; post-rock, MIM; duo folk gelap, Satwo dan rock alternatif, motherwit.
Sengaja saya letak genre asas setiap artis sebab nak tunjuk, low-key sessions ini satu rancangan yang berani dan terbuka. Dalam enam episod pertama saja dah ada dua kugiran post-rock.
Selanjutnya, akan ada 14 lagi bakat yang menelanjangkan karya di studio RAI Arts. Jumaat lepas ada Wobbebong tapi setakat artikel ini ditulis, saya belum sempat tonton.
Nama-nama lain yang disebut dalan siaran media mereka ada Pasca Sini, A. Limin, The Fridays dan Fugo.
Kalau diteliti nama-nama itu, mereka ialah kugiran yang jarang dipanggil persembahan tapi kewujudan masing-masing terpahat dalam lapangan.
SALING MERESAP
Mungkin ada yang kata low-key sessions tiru Tiny Desk oleh NPR atau penghasilan rancangan ini sendiri terinspirasi daripada Tiny Desk. Tapi saya rasa perbezaannya.
Yang sama, kedua-duanya mencabar kreativiti artis yang buat persembahan. Tapi untuk saya, low-key sessions lebih hangat.
Mungkin teknik suntingan yang memainkan peranan. Selingan rakaman persiapan dengan audio mentah buat kita berpisah roh dengan jasad. Jasad kaku di rumah, roh terbang masuk studio RAI Arts (tempat rakaman dibuat).
Setiap episod bawa saya lebih dekat dengan artis yang ditampilkan. Selain menikmati persembahan mereka, saya juga boleh dengar sayup-sayup hal yang dibualkan sepanjang rakaman.
Konsep low-key sessions mudah. Bawa artis masuk dalam studio dan buatlah persembahan sambil diiringi semangat studio itu. Sebab itu bukan studio muzik, semangatnya lain. Mungkin tanpa sedar, semangat studio itu mempengaruhi gaya persembahan artis yang bertandang.
Artis resap semangat studio, studio resap semangat artis. Resapan resiprokal.
APABILA JAMAL RASLAN MENAIP
Satu hal lagi yang saya sangat suka dengan low-key sessions ialah kapsyen pada setiap video.
Rancangan mana lagi yang rajin nak tulis panjang-panjang pada kapsyen, siap dengan ulasan terhadap bakat yang ditampilkan?
Apabila saya tonton sampai ke hujung, kredit menunjukkan nama Jamal Raslan yang bertanggungjawab dengan urusan media juga penulisan. Maka, saya anggap Jamal yang menulis semua kapsyen-kapsyen itu.
Saya mula kenal Jamal kira-kira enam tahun lepas, dalam fasa pendek menggilai sajak spoken word. Pertama kali menonton video persembahannya, saya menge-fuhhh dengan panjang. Selepas itu watak Jamal hilang dari hidup saya.
Kali ini saya berjumpa namanya semula dan sekali lagi saya menge-fuhhh panjang.
Kesanggupan RAI Arts mendapatkan seorang penulis mapan untuk mengulas setiap video itu tanda bahawa mereka serius dalam menghargai bakat tempatan tanpa prejudis. Mereka serius mahu bikin kandungan muzik yang tumpuannya muzik. Mereka serius mahu beritahu semua orang, produk dan karya perlu direnung dan difikir, dibedah dan dibelah, dihayati dan dinikmati.
Sebab itu saya suka pada RAI Arts dan low-key sessions.
Saya harap low-key sessions akan lanjut ke gelombang-gelombang seterusnya sebab kita tak pernah tandus bakat, cuma gersang penghargaan.
Oh ya, siapa Nik Khusairie yang saya sebut pada awal artikel?
Nama panggilannya Aiie. Dia bersama isteri, Lara Hassan ada cinta yang dalam pada seni dan gerakan seni tempatan, sebab itu mereka bikin RAI Arts.
Lelaki mirip Dave Grohl (dan Johan Raja Lawak) itu juga seperti low-key sessions: hangat, mesra dan penuh penghargaan.