LKIM jamin harga ikan stabil di pasaran - Utusan Malaysia

LKIM jamin harga ikan stabil di pasaran

MUHAMMAD Faiz Fadzil (duduk, kanan) memperkatakan sesuatu kepada penerima bantuan enjin bot, Samsudin Embong (duduk, tengah) pada Program Rahmah Mesra Madani, Sesi Libat Urus Bersama Nelayan Negeri Terengganu di Pelabuhan LKIM Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan tidak berlaku kenaikan harga ikan yang membebankan walaupun terdapat dakwaan harga barangan pengguna meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, harga ikan masih berada dalam keadaan stabil  apabila harga semasa bergantung kepada bekalan dan permintaan di pasaran.

Sehubungan itu, menurutnya, LKM akan memastikan simpanan bekalan ikan sentiasa  mencukupi di seluruh negara bagi menstabilkan harga ikan.

“Pada masa ini, terdapat 91 bilik sejuk beku di kawasan PNK (Persatuan Nelayan Kawasan) yang aktif dan mampu memuatkan 90 tan metrik kapasiti ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Rahmah Mesra Madani, Sesi Libat Urus Bersama Nelayan Negeri Terengganu di Pelabuhan LKIM ChenNdering di sini, hari ini.

Selain itu, Muhammad Faiz memberitahu, pihaknya juga masih mengimport kira-kira 40.peratus bekalan ikan dari luar negara bagi menampung keperluan ikan seterusnya mengawal kenaikan harga.

“Setakat ini, kita tidak berhasrat meningkatkan jumlah import ikan kerana hasil tangkapan nelayan tempatan mencukupi,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambahnya, pihaknya juga akan memendekkan aliran rantaian penyaluran bekalan ikan kepada pengguna untuk mengurangkan harga di pasaran.

“Kita memendekkan bekalan tersebut menerusi konsep pasar nelayan supaya harga lebih murah apabila nelayan yang mendaratkan hasil mereka menjual terus kepada pengguna.

“Usaha ini mampu mengurangkan peranan orang tengah dan sekaligus meningkatkan margin keuntungan malah pengguna turut mendapat bekalan ikan segar pada harga yang berpatutan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan berkata, pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya