ARAU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengarahkan bilik simpanan sejuk beku khususnya di kawasan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara digunakan sepenuhnya bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, bilik sejuk beku yang ada di kawasan PNK mampu memuatkan 90 tan metrik kapasiti ikan.
Justeru tegasnya, tidak timbul isu LKIM gagal mengoptimumkan operasi bilik sejuk itu.
“Bekalan ikan kita perlukan bilik sejuk yang besar dan di bawah LKIM kita mempunyai 90 tan metrik kapasiti untuk simpanan. Arahan saya daripada awal pastikan semua bilik sejuk beku ini dapat digunakan.
“Kemungkinan ada yang tidak dapat digunakan atas faktor rosak, usang dan saya beri arahan awal, ambil langkah drastik membaikinya supaya ada lebihan ikan yang boleh kita simpan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Ada beberapa bilik sejuk beku ini yang aktif antaranya di Kuala Kedah, Besut, Tok Bali dan Kuantan,” katanya ketika ditemui selepas program Ramah Mesra Madani di Dewan PNK Perlis Selatan di sini semalam.
Pada 29 Mei 2022, bekas Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, masalah birokrasi dalaman didakwa menyebabkan tempat simpanan ikan sejuk beku LKIM terbiar kosong.
Sementara itu Muhammad Faiz berkata, sekitar 10 peratus bilik simpanan sejuk beku tidak dapat digunakan atas faktor usang dan rosak. – UTUSAN