Lelaki Myanmar dalang jual dokumen palsu, kaut untung RM360,000

Lelaki Myanmar dalang jual dokumen palsu, kaut untung RM360,000

RUSLIN Jusoh menunjukkan antara barang rampasan dalam sidang akhbar sindiket pemalsuan dokumen di Jabatan Imigresen, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegiatan sindiket penjualan dokumen palsu didalangi seorang lelaki warga Myanmar akhirnya tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan suspek di ibu kota baru-baru ini.

Lelaki itu dikatakan mengaut keuntungan sehingga RM360,000 setahun atas kegiatan itu dengan menyasarkan warga Myanmar dan Bangladesh di Lembah Klang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek dikenali Ayake berusia lingkungan 30 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM pada 13 Julai lepas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Pasukan operasi berjaya menahan suspek ketika sedang dalam perjalanan untuk menyerahkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pelanggan di Dataran Merdeka.

“Suspek cuba melarikan diri apabila pasukan operasi menghampiri dan memperkenalkan diri menyebabkan berlaku adegan kejar-mengejar dan suspek berjaya ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan Hari Bertemu Pelanggan JIM di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek itu, pihaknya berjaya merampas dua pelekat PLKS, pasport Myanmar palsu (dua) dan wang tunai berjumlah RM26,000 yang diletakkan di dalam kenderaan jenis Honda C-RV.

“Pasukan operasi kemudiannya bergerak ke sebuah premis dipercayai rumah sewa suspek di Sentul, Kuala Lumpur. Hasil penggeledahan juga berjaya merampas satu set peralatan komputer lengkap disyaki digunakan untuk pemalsuan dokumen.

“Selain itu, JIM turut merampas 26 keping kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (dua), kad PLKS (tiga), pasport Myanmar palsu (lapan), lesen memandu Myanmar (satu) dan wang tunai berjumlah RM1,500,” ujarnya.

Ruslin berkata, modus operandi suspek adalah mengiklankan perkhidmatan melalui aplikasi Whatsapp mengenakan bayaran sekitar RM200 hingga RM1,000 bagi perkhidmatan memalsukan dokumen tersebut.

“Suspek bergerak secara bersendirian dan ia menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan kegiatan haram yang dilakukan,” katanya.

Katanya, suspek ditahan selama 14 hari bermula 14 Julai lalu dan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya