Lelaki mangsa gangguan seksual kurang 'mengadu' - Utusan Malaysia

Lelaki mangsa gangguan seksual kurang ‘mengadu’

NANCY Shukri (empat dari kanan) ketika hadir menjayakan Program Jerawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Kesedaran golongan lelaki terhadap kempen anti gangguan seksual di negara ini disifatkan agak subjektif kerana penerimaan masing-masing terhadap bentuk gangguan itu adalah berbeza secara individu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehubungan itu, sukar untuk membuat penilaian terhadap mereka berhubung tahap keberkesanan kempen tersebut buat masa ini.

Tambah beliau, ini kerana ada dalam kalangan lelaki mungkin akan berasa ‘teruja’ dan ada juga yang mungkin terganggu dengan gangguan seperti itu.

Namun, jelasnya, statistik semasa menunjukkan kebanyakan lelaki kurang ‘mengadu’ dalam hal melibatkan gangguan seksual walaupun menjadi mangsa.

“Jadi, program seperti ini akan memberi kesedaran yang boleh digunakan sebagai salah satu daripada panduan untuk menyatakan mereka adalah mangsa kepada gangguan seksual, tak kira (sama ada) lelaki atau perempuan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Jerayawara Kasih KPWKM @Advokasi Antigangguan Seksual yang turut dihadiri Timbalannya, Aiman Athirah Sabu di Dewan Milenium, di sini hari ini.

Pulau Pinang merupakan destinasi kedua selepas Putrajaya bagi program tersebut dan akan diteruskan ke beberapa lokasi lain dengan matlamat memberi pendedahan, pengetahuan serta menyebarluaskan pemakaian garis panduan dan notis anti gangguan seksual kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Nancy berkata, gangguan seksual harus ditangani dengan serius kerana boleh mendorong jenayah seksual yang lebih serius dan kesannya terhadap mangsa adalah sangat negatif termasuk trauma serta ketakutan berpanjangan.

Katanya, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah digubal sebagai suatu akta khusus untuk menangani kesalahan gangguan seksual dan diharap dapat membantu mangsa untuk tampil melaporkan kejadian gangguan seksual supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Beliau berkata, penguatkuasaan akta itu telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 28 Mac lalu dan langkah itu sebahagian usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya wanita dengan menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual yang melibatkan kedua-dua jantina iaitu lelaki dan perempuan dilaporkan meningkat iaitu dari 378 kes pada 2020 kepada 506 kes pada tahun berikutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya